KUCHING - Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa kontraktor pembinaan di negeri ini menggunakan kayu sintetik sebagai langkah menyokong ekonomi hijau dan pengurusan hutan mampan.
Beliau berkata kayu sintetik, hasil gabungan fiber kayu dan bahan kimia, menawarkan alternatif mesra alam dengan pelepasan karbon lebih rendah berbanding kayu tradisional.
“Jika anda memerlukan kayu untuk membina rumah, kayu sintetik bercampur fiber boleh menjadi pilihan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Ladang Hutan Industri 2025 di Kuching," Isnin malam 17 November.
Abang Johari menekankan bahawa strategi perhutanan Sarawak mengekalkan 62% tanah negeri sebagai kawasan berhutan, termasuk 3.95 juta hektar hutan simpan kekal, sambil memperkukuh ladang hutan untuk bekalan bahan mentah lestari.
Ujarnya, program ini membantu mengurangkan tekanan terhadap hutan semula jadi, menyokong inovasi, dan meningkatkan ketahanan iklim serta pertumbuhan ekonomi.
“Selain mengekalkan hutan semula jadi, kita mesti menanam lebih banyak pokok, membina kawasan simpanan karbon, dan melabur dalam penyelidikan bagi menghasilkan oksigen dan menyerap karbon dengan lebih efektif,” tambah beliau.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back