KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Pusat tidak akan berundur dalam usaha menunaikan hak Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata proses rundingan teknikal akan diteruskan secara teratur bermula Isnin ini melibatkan pegawai antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang antara lain diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta wakil kerajaan Sabah.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa usaha menyelesaikan isu 40 peratus hasil bersih Sabah itu tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan atau merendah-rendahkan sumbangan pemimpin yang pernah menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini.
Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar “Harapan Urang Muda Sabah” di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang hari ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back