MARUDI - Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil menegaskan bahawa pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Lama (MMMLL) hari ini menandakan detik penting transformasi pembangunan Baram.
Dalam ucapannya pada majlis perasmian, beliau mengimbas keadaan jalan Miri–Marudi sebelum ini yang mengambil masa sehingga tiga jam perjalanan dan berada dalam keadaan daif, sehingga menimbulkan rungutan dan kritikan berterusan daripada penduduk serta media.
Katanya, kerja naik taraf awal bermula pada 2017 dengan peruntukan RM65 juta, namun keperluan jalan baharu tetap mendesak.
Pada 2020, beliau membentangkan cadangan kepada Ketua Menteri ketika itu, yang membawa kepada kelulusan projek MMMLL yang kini menghubungkan Miri, Marudi, Mulu dan Long Lama.
Beliau berkata peruntukan berbilion ringgit yang disalurkan kerajaan negeri untuk infrastruktur asas adalah hasil dasar “Rural Biased Development Policy”, yang memberi harapan baharu kepada masyarakat luar bandar.
Datuk Dr Penguang menyifatkan pelaksanaan MMMLL sebagai permulaan era baharu yang akan menjadikan Baram lebih progresif dan berdaya saing.
Majlis Perasmian Projek Jalan MMMLL itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back