KUALA LUMPUR - Hari penamaan calon PRN Sabah ke-17 hari ini berlangsung meriah seperti ‘festival kebudayaan’ apabila calon dan penyokong hadir dengan pelbagai busana tradisional etnik Sabah di 25 pusat penamaan calon seluruh negeri.
Antara yang mencuri perhatian ialah calon Warisan bagi DUN Tulid, Lucia Kihing, yang mengenakan pakaian tradisional Dusun Lobu, manakala calon STAR di DUN Tungku, Suling Isib, tampil dengan busana etnik Dusun Begak. Di Tawau, penyokong PH turut memeriahkan suasana dengan pakaian tradisional pelbagai etnik.
Di Tuaran, penyokong BN pula berarak membawa dua tarian singa berkostum biru di pekarangan Dewan Seri Sulaman.
Proses penamaan calon tamat pada 10 pagi, menandakan bermulanya tempoh kempen selama 14 hari hingga 28 Nov. Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan, dengan pengundian awal pada 25 Nov dan hari mengundi pada 29 Nov.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back