Kuching – Sesi ‘SwinTalk Swinburne’ oleh Universiti Swinburne Kampus Sarawak hari ini, menjadi inisiatif penting untuk meneroka Kecerdasan Buatan (AI) mampu memandu masa depan ke arah pembinaan negara pintar.
Menurut kenyataan universiti itu, sesi berkenaan merupakan platform strategik yang menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik dan pakar industri, untuk bertukar pandangan serta membincangkan cabaran semasa dan masa depan.
Ia bertujuan mengukuhkan komitmen Swinburne terhadap pendidikan berasaskan industri, kerjasama penyelidikan, serta pemindahan pengetahuan ke arah peningkatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Sarawak.
Sesi itu hari ini menampilkan ramai tokoh penting dan pakar dalam bidang masing-masing, bagi berkongsi pandangan serta pengalaman kepada warga universiti berkenaan.
Antaranya termasuk Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kepintaran Buatan Sarawak, Profesor Patrick Then.
Antara pengisian utama ialah sesi sembang santai bertajuk “Dari Peruntukan kepada Automasi: AI di Nadi Belanjawan 2026.”
Perbincangan itu menumpukan kepada cara penggunaan AI merentas industri dalam memacu inovasi, meningkatkan kecekapan, serta memperkukuh keterangkuman dalam pembangunan ekonomi negeri.
Selain itu, perbincangan turut meneliti cara untuk mengintegrasikan teknologi AI dalam perancangan Bajet Malaysia 2026 dalam menyokong tadbir urus yang lebih bijak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Langkah itu penting bagi memastikan pertumbuhan mampan dan transformasi digital yang saksama dilaksanakan di Sarawak, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Back