KUALA LUMPUR - Beregu campuran negara yang juga juara dunia baharu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terpaksa berhempas pulas dalam pertarungan tiga set sebelum melangkah ke suku akhir Masters China 2025 hari ini, 18 Sept.
Pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel, 21-13, 13-21, 21-16 dalam perlawanan mendebarkan selama 73 minit di Shenzhen Arena, sekali gus menempah slot lapan terbaik.
Sementara itu, perjuangan pasangan profesional negara yang juga pilihan kelapan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, terhenti selepas tewas kepada beregu bukan pilihan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan, 6-21, 21-16, 12-21.
Dalam kategori beregu lelaki, pasangan profesional negara yang juga pilihan ketiga, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, 21-16, 22-20.
Sumber: FB Sarawak Forestry Corporation
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile

BILIK BERITA CATS

18 September 2025 | 04:38 PM