KUCHING – Industri sawit Sarawak yang menjadi tonggak ekonomi negeri kini berada di persimpangan kritikal apabila berdepan pelbagai cabaran global dan operasi, kata Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha.
Beliau yang mewakili Menteri, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata sektor itu kekal penting dengan menyumbang RM14.3 bilion nilai eksport atau 10.9 peratus daripada jumlah eksport negeri pada 2023, selain memberi sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.
Menurutnya, industri sawit bukan sahaja penggerak ekonomi, malah menjadi pemacu pembangunan luar bandar melalui penciptaan pekerjaan, penyediaan pendapatan stabil serta pembangunan prasarana asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
Namun, katanya, industri berdepan tekanan besar daripada pasaran antarabangsa yang semakin menuntut amalan mampan melalui piawaian seperti EU Deforestation Regulation (EUDR), serta kriteria Environmental, Social and Governance (ESG).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) bersama agensi kerajaan, di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Pengerusi SOPPOA, Joseph Blandoi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile

BILIK BERITA CATS

18 September 2025 | 04:37 PM