KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Sabah semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga, berbanding 2,919 orang Rabu petang (17 Sept).
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, kesemua mangsa kini ditempatkan di 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.
Daerah Sipitang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa, manakala Beaufort, Papar dan Putatan kekal, sementara Penampang dan Membakut mencatat penurunan. Sehingga kini, 127 kampung terjejas akibat banjir yang melanda sejak 9 Sept lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan ribut petir di beberapa kawasan Sabah pada pagi, petang dan malam ini, khususnya di pedalaman.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile

BILIK BERITA CATS

18 September 2025 | 04:33 PM