PUTRAJAYA, 16 Jun - Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu merangkumi 67.33 peratus daripada keseluruhan 223,624 permohonan yang diterima melalui sistem UPUOnline.
"Daripada jumlah tersebut, 86,589 calon ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), 42,058 di Politeknik, 20,427 di Kolej Komuniti dan 1,483 di institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“Tawaran menerusi Laluan Khas pula melibatkan 17,693 calon, merangkumi 16,189 daripada kategori B40, 590 Orang Kurang Upaya (OKU), 593 atlet dan 321 Orang Asli,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditawarkan tempat di IPTA.
Menurut KPT, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Bagi calon yang tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula hari ini sehingga 25 Jun ini, sebelum pukul 5 petang. – Bernama
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

16 June 2025 | 04:36 PM