WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

RUPANYA INILAH 12 PUNCA ANAK MALAS BELAJAR. MAK AYAH WAJIB SEDAR & SELESAIKAN!

Kadang-kadang sampai pukul sebelas malam mak-mak masih tunggu untuk pastikan anak-anak habiskan kerja sekolah tapi ayah elok je


Back To Whats Hot

Sumber dari Mingguan Wanita

Oleh:Nuri Supian

"Saya dah tak tahu nak buat apa lagi. Dimarahi sudah, dirotan pun sudah, nasihat jangan ceritalah. Berbuih mulut cakap suruh dia belajar.

Tapi semua tu masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sudah-sudahnya saya yang tension…" Itu luah yang kerap kita dengar daripada ibu-ibu mengenai anak yang malas belajar dan malas membuat kerja rumah.

Kadang-kadang sampai pukul sebelas malam mak-mak masih tunggu untuk pastikan anak-anak habiskan kerja sekolah tapi ayah elok je berdengkur atau bersandar tengok tv.

Kenapa budak malas belajar? Banyak kajian menunjukkan persekitaran yang tidak ceria dan membosankan membuat anak-anak malas buka buku. Ibu yang suka berleter, ayah yang tak ambil kisah sangat dan persekitaran rumah yang lebih mementingkan perkara lain daripada pelajaran, buat anak-anak ambil kesempatan.

Cara paling digalakkan dalam menumbuhkan semangat belajar anak yang malas adalah ibu dan ayah bergabung tenaga. Jangan sebelah pihak je. Lagipun bila ayah ada bersama memberi tumpuan pada pelajaran anak, pasti anak-anak rasa lebih `semangat' sebab ayah biasanya tegas. Mak-mak pun tak lah kelam kabut seorang diri risaukan perkembangan sekolah anak-anak.

Mari kita tengok kenapa anak malas belajar dan apa cara untuk atasinya...

1. Mungkin beban kerja sekolah terlalu banyak sehingga anak tidak tahu mana satu perlu dibuat dahulu. Menghafal setiap mata pelajaran yang diberikan cikgu memang bukan kemahiran semua pelajar. Jadi tengok adakah itu masalah anak anda.

2. Ada pelajaran yang tidak disukainya atau dia tidak sukakan cara guru yang mengajar sehingga anak-anak tak peduli untuk siapkan kerja-kerja diberikan oleh guru tersebut. Kalau ini sebabnya, mak dan ayah kena beri perhatian serius, sebab anak-anak tak boleh terbiasa memilih apa yang dia suka sahaja baru nak belajar.

3. Kenal pasti adakah anak kita itu jenis yang memang tidak berminat dalam akademik tapi cenderung pada perkara atau ada kemahiran lain. Mesti kita kenal siapa anak kita kan?

4. Check adakah anak kita mengalami gangguan fizikal seperti masalah pendengaran atau penglihatan. Kalau ini punca kenapa dia sukar belajar, bawa cepat anak jumpa doktor sebelum dia ketinggalan banyak pelajaran yang boleh membuatkan dia makin malas belajar.

5. Mak ayah jangan bergaduh depan anak-anak kerana ia boleh jadi punca gangguan emosi pada anak hingga mereka berasa bosan duduk di rumah, apalagi duduk di meja belajar.

6. Jangan juga buat perbandingan dengan adik-beradik lain mengenai taraf pencapaian masing-masing. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Tanggungjawab mak ayah adalah gilap kelemahan dan bantu baiki kelemahannya.

7. Anak yang tidak ada contoh mengenai apa yang dimaksudkan dengan rajin. Anak yang masih muda kadangkala perlukan contoh untuk diikutinya. Fikiran mereka belum matang. Kalau mereka selalu tengok seisi rumah bersidai depan tv kenapa mereka mesti bersusah payah mengadap buku dan belajar.

8. Yang penting jangan tersalah cakap dengan anak-anak… misalnya, "kamu kena rajin belajar, jangan jadi macam ayah kamu masih kecil suka ponteng dan malas belajar." Kata-kata ini walaupun dengan tujuan mahu menasihati anak-anak agar jangan malas belajar, tetapi alam luar sedarnya sudah menangkap, `ayah aku walaupun selalu ponteng dan malas, tapi hari ini berjaya juga. Ada rumah, ada kereta, boleh beli apa aku mahu dan boleh pergi ke mana-mana' Dalam fikiran mereka malas pun ok. Nanti besar jadi orang berjaya juga. Awas…bila beri contoh teladan.

9. Jika balik dari sekolah, makan kemudian terus bermain dalam tempoh waktu yang lama, akan membuat anak sudah letih untuk belajar. Jika setiap hari seperti itu, ia akan jadi tabiat. Cepat ubah tabiat itu, takut ia sukar dibetulkan lagi.

10. Ini antara perkara yang selalu mak ayah buat tetapi akhirnya salahkan anak-anak tidak suka belajar. Anak-anak selalu dibawa ke pusat beli-belah dan dibelikan barangan seperti baju, seluar, kasut dan mainan dengan jumlah harga puluhan atau ratusan ringgit tanpa ragu-ragu membayarnya. Tapi bila lalu di depan kedai buku, anak-anak tunjuk buku cerita berharga lima belas ringgit, mak ayah terus meninggikan suara, mahalnya dan tarik tangan anak keluar dari situ. Lama-lama anak rasa buku bukan perkara penting. Tak baca pun tak pa. Bila dia malas membaca, jangan salahkan anak sahaja. Mak ayah pun ada saham?

11. Jangan marah dan cepat melenting bila anak buat silap. Kemarahan akan menyebabkan mereka malas mencuba.

12. Menjadi ibu bapa jangan terlalu garang atau terlalu tegas. Anak-anak adalah permata hati kita. Mereka pun ada hati dan perasaan yang sensitif. Kalau terlalu garang mereka takut bertanya dan akhirnya menjadi malas untuk mengetahui sesuatu melalui kita, ibu ayah mereka.

Cara Bantu Anak Jadi Rajin Belajar Tanpa Disuruh

1. Reward - Bagi hadiah sebagai tanda galakan atas pencapaian terbaiknya.

2. Selalu bersamanya ketika dia mengadap buku. Kalau tidak mengajarnya pun, duduklah berdekatan dengannya sambil membaca seperti majalah, novel atau akhbar. Jangan main handphone.

3. Ibu bapa kena sabar apabila anak banyak bertanya perkara yang dia musykil atau tidak tahu. Rajin bercerita atau berbincang dengan anak-anak walaupun mereka masih muda. Selalu bercerita membuat mereka cepat matang. Beri penerangan pada pertanyaan, `kenapa dan mengapa' yang selalu anak-anak tanya atau soal kepada kita. Jawapan pada setiap pertanyaan itu akan merangsang otaknya untuk lebih ke depan dan rasa ingin tahunya pada sesuatu perkara akhirnya mendorong minatnya terhadap membaca dan belajar. Cubalah kalau tak percaya.

4.    Beli buku mengikut apa yang disukainya. Kalau dia sukakan sesuatu kartun atau tokoh super hero, beli buku-buku atau peralatan sekolah seumpama itu untuk menambah minat membaca dan belajarnya.

5. Cipta suasana belajar yang tenang dan merangsang anak untuk seronok belajar. Kalau dia masih sekolah rendah, jadikan suasana belajar itu seperti dia sedang bermain. Mengasuh cara belajar yang betul sejak awal lebih memudahkan mak ayah membentuk minat anak di kemudian hari.

6. Jika ada fanatik dengan game, guna cara itu untuk mempengaruhi dan memanipulasinya untuk belajar. Katakan padanya, belajar dahulu, lepas tu boleh main game semula. Pastikan dia belajar dan membuat kerja rumah dengan betul, bukan asal siap kerana mahu cepat-cepat bermain. Bahagikan waktu dan minta anak ikut jadual yang ditetapkan. Mak ayah pun kena berdisiplin juga.

7. Pastikan berapa banyak masa yang diperlukan anak untuk menyiapkan sesuatu. Salah satu kunci untuk mengubah anak malas menjadi rajin adalah mengajarnya untuk menguruskan waktu. Mereka harus tahu membahagikan waktu untuk setiap perkara. Bantu mereka menguruskan perkara ini.

8. Elakkan anak-anak daripada gangguan ketika mahu belajar. Perhatikan dengan teliti apakah perkara yang paling mengganggu atau menghalangnya setiap kali diminta untuk belajar. Mengidentifikasi gangguan itu boleh membantu anak untuk mengawal gangguan tersebut.

9. Sekiranya anak-anak mendapat tugasan besar dari sekolah yang perlu disiapkan dan dia rasa terbeban untuk melakukannya, inilah masa untuk mak ayah beri sokongan. Dampingi mereka dan beri tunjuk ajar. Peluk mereka erat-erat. Pelukan kita akan meringankan mereka menghadapi bebanan tersebut. Malah mungkin mereka mendapat banyak idea untuk menyelesaikan tugasan tersebut.

10. Jangan sekali-kali meremehkan kemampuan anak. Tunjukkan kita mempercayai kemampuan mereka. Sekiranya kita menunjukkan sikap meremehkan kemampuan mereka, semangat atau ghairah belajar mereka akan hilang, bah dalam hal-hal kecil seperti mencuci pinggan, membasuh kasut, menggosok baju atau menyapu sampah juga mereka tidak bersemangat lagi. Mungkin apa yang dilakukan mereka tidak bersih atau kemas tetapi keinginan membuat pekerjaan itu yang patut diberi tumpuan dan diberikan penghargaan, bukan pada hasil kerjanya. Mereka akan berhenti belajar sesuatu jika sering dikritik.

11. Kemalasan anak pasti akan memberi risiko kepadanya. Jangan kita pula gelabah dan tolong menyiapkan kerja sekolahnya untuk mengelakkan dia didenda gurunya. Biarkan dia menerima hukuman itu. Dia akan belajar daripada denda tersebut dan kita tidak perlu menambah denda itu atau memarahinya.

12. Di dalam ahli keluarga, pasti ada seseorang yang akan membuat anak mahu mendengar kata-kata. Minta bantuannya mengubah sikap pemalas anak menjadi produktif. Strategi ini akan lebih berjaya jika orang itu adalah ibu, ayah atau adik beradiknya sendiri.

Ingat, ibu ayah jagan mudah putus asa sebab semangat anak-anak akan datang anda dulu. In shaa Allah mood rajin dia akan muncul, semoga bermanfaat!