• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

‘LELAKI PALING KOTOR’ MENINGGAL DUNIA SELEPAS MANDI PERTAMA KALI

Makanan Haji terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. - AFP


Back To Whats Hot

TEHRAN – Seorang lelaki di Iran yang tidak pernah mandi selama 67 tahun kerana bimbang dijangkiti penyakit meninggal dunia pada usia 94 tahun, beberapa bulan selepas pertama kali membersihkan badannya, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Amou Haji digelar ‘lelaki paling kotor di dunia’ kerana mengelak daripada mandi. Dia bagaimanapun kekal sihat walaupun bertahan hidup dengan hanya memakan bangkai landak mentah yang mati dilanggar serta meminum air lopak jalan yang diisi di dalam tin minyak berkarat.

Pada awal tahun ini, jiran-jiran berjaya memujuknya untuk mandi selepas memberitahu bahawa dia sukar mencari kawan dan teman wanita jika tidak membersihkan badan.

Agensi berita Iran, IRNA memetik sumber sebagai berkata, penduduk kampung buat kali pertama membawa lelaki yang tidak pernah berkahwin itu ke bilik air untuk mandi beberapa bulan lalu.

Dia bagaimanapun jatuh sakit tidak lama selepas itu dan meninggal dunia Ahad lalu.

Disebabkan enggan mandi, Haji dilaporkan pernah melompat dari kereta yang sedang bergerak sebelum diikat oleh penduduk kampung untuk membawanya ke sungai.

Walaupun jiran-jiran menghormatinya, ada dalam kalangan penduduk kampung yang datang untuk mengejek dan membaling batu ke arah Haji yang tinggal di dalam sebuah pondok batu.

Kisah mengenai lelaki itu menarik minat para saintis yang berminat untuk mengkaji jenis hidupan yang mungkin berada pada tubuhnya.

Mereka bagaimanapun terkejut apabila mendapati Haji tidak dijangkit sebarang bakteria atau parasit lain selain daripada Trichinosis, sejenis bakteria yang menjangkiti individu yang memakan daging mentah dan menyebabkan jangkitan biasa.

Sebuah filem dokumentari pendek bertajuk ‘The Strange Life of Amou Haji’ juga telah diterbitkan pada 2013 bagi menceritakan mengenai kehidupannya.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini