WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

2 PENGEMBARA TRANSIT DI SINGAPURA DIKESAN POSITIF OMICRON

Sebuah pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney. - FOTO AFP


Back To Whats Hot

SINGAPURA: Dua pengembara menaiki penerbangan dari Afrika Selatan dan transit di Singapura, dikesan positif varian baharu COVID-19, Omicron di Sydney, Australia.

Mereka tiba di Sydney pada jam 9.20 malam kelmarin menggunakan pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ211 yang berlepas dari Singapura pada jam 10.30 pagi hari sama.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA), Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura memaklumkan lewat malam tadi, pengembara terbabit berlepas dari Johannesburg di Afrika Selatan dengan menaiki pesawat SQ481 pada 27 November lalu dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari sama untuk penerbangan transit.

Bermula jam 11.59 malam Sabtu lalu, semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe dalam tempoh 14 hari lalu, dilarang memasuki atau transit di Singapura.

MOH berkata, ujian saringan prapenerbangan di Afrika Selatan ke atas pengembara terbabit mencatat keputusan negatif, dan kebanyakan penumpang berkenaan kekal berada di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehinggalah berlepas ke Sydney pada 28 November lalu.

Menurut MOH lagi, mereka tidak memasuki Singapura ataupun melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.

Tujuh penumpang mendarat di mana enam daripadanya kini menjalani kuarantin selama 10 hari di sebuah fasiliti khusus dan akan menjalani ujian saringan PCR.

"Seorang lagi adalah kontak rapat kepada individu dijangkiti dalam penerbangan itu, dan sudahpun dikuarantin.

"Pengesanan kontak sedang diteruskan ke atas kakitangan lapangan terbang yang berkemungkinan mempunyai kontak seketika dengan kes terbabit," kata MOH Singapura.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW Health) dalam satu kenyataan, semalam, berkata kedua-dua penumpang terbabit tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan menaiki pesawat SIA SQ211.

Menurut kenyataan itu lagi, dua individu terbabit sudah lengkap vaksinasi serta diasingkan di kemudahan kesihatan khas.

"Semua individu yang berada dalam pesawat itu dianggap sebagai kontak rapat, sekali gus perlu segera menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin 14 hari, tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka," kata NSW Health.

Justeru, pihaknya akan menghubungi semua penumpang dan kru pesawat bagi memaklumkan mengenai keperluan pengasingan itu.

Dalam respons kepada pertanyaan CNA, jurucakap SIA memaklumkan, juruterbang dan kru pesawat terbabit akan menjalani kuarantin kendiri serta ujian saringan COVID-19.

Jurucakap itu berkata, SIA tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat mengenai penumpang berkenaan atas sebab kerahsiaan pelanggan, dan akan membantu pihak berkuasa kesihatan 'dalam segala usaha pengesanan kontak yang diperlukan.'

"SIA akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan berpandukan keperluan kawal selia yang berkaitan, bagi memastikan kesihatan serta keselamatan semua pelanggan dan kakitangan kita," katanya.

Sumber: Berita Harian