WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

BANGGA KAHWIN CAMPUR

Ia bagaikan 'cermin' kepada kemerdekaan tanah air ini yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat majmuk dengan pelbagai kaum, bangsa dan agama


Back To Whats Hot

Kuala Lumpur: Sebelum mengambil keputusan mengahwini pemuda berbangsa Cina dua tahun lalu, Jeakqleyn Yacho memang sudah terbiasa dengan perkahwinan campur, bermula dengan ibu bapa dan adik kandungnya sendiri.

Jeakqleyn, 30, sendiri tidak canggung apabila mendapat perhatian rakan kerana perkahwinan campur ini, malah berbangga ia menjadi sebahagian daripada keluarganya.

Baginya, ia bagaikan 'cermin' kepada kemerdekaan tanah air ini yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat majmuk dengan pelbagai kaum, bangsa dan agama, malah hubungan yang tercetus daripada perkahwinan campur itu menjadi simbol keunikan serta perpaduan kaum di negara ini.

Bermula daripada bapanya, Yacho Pangiran, 52, berbangsa Murut yang berkahwin dengan ibunya, Cecelia Lahai Wan, 52, berbangsa Kayan, diikuti adik Jeakqleyn, Nizam Yacho, 28, berkahwin dengan gadis Melayu pilihannya, Norasiah Mohd Salleh, 28, pada 2015.

Jeakqleyn sendiri mendirikan rumah tangga dengan pemuda bangsa Cina, Goh Kian Hui, 33, pada 2019.

Menceritakan keunikan perkahwinan campur dalam keluarganya, Jeakqleyn berkata, pada mulanya, ibu bapanya agak keberatan untuk menerima perkahwinan campur membabitkan adik lelakinya itu yang berbeza agama.

"Ada banyak perkahwinan campur dalam keluarga kami membabitkan ibu saudara dan sepupu. Malah, ibu bapa sendiri berkahwin berbeza kaum. Namun, perkahwinan mereka hanya berbeza dari segi kaum dan bukan agama.

"Apabila adik memaklumkan mahu mengahwini gadis Melayu, ibu bapa saya agak keberatan, namun akhirnya memberi restu perkahwinan mereka. Ibu sendiri sedar bahawa hubungan antara kami sekeluarga tidak akan pernah terputus walaupun adik menukar agamanya," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuching, Sarawak.

Jeakqleyn berkata, ibunya juga menghormati cara hidup baharu adik lelaki dan isterinya terutama daripada segi ibadat dan pemakanan.

"Ibu membeli periuk dan peralatan dapur lain baharu untuk kegunaan mereka selain menyediakan bilik bersih bagi mereka menunaikan solat setiap kali berkunjung ke rumah kami di Miri, Sarawak.

"Malah, ibu ada memberi gelaran khas kepada anak sulung mereka dengan nama Ulek Uk yang bermaksud adik kecil dalam bahasa Kayan," katanya.

Menurutnya, perkahwinannya bersama suami juga tidak mendapat sebarang tentangan daripada ahli keluarga masing-masing.

"Pada awalnya, suami saya menganut agama Buddha, namun menukar agama kepada Kristian seperti saya pada tahun lalu. Meskipun dalam keluarga kami ada pelbagai kaum dan agama, tidak pernah sekalipun berlaku pergaduhan.

"Ini kerana kami hormat terhadap kaum dan agama masing-masing dan mengelak daripada bercakap mengenai perkara yang sensitif hingga boleh menyebabkan berlaku pergaduhan.

"Malah, setiap kali ada perayaan seperti Aidilfitri, Krismas dan Hari Gawai, kami akan menziarah satu sama lain dengan menyediakan makanan khas untuk mereka. Inilah juga sebahagian daripada erti kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, seorang jururawat, Leonora Ester Johen, 30, berpendapat perkahwinan campur dapat membantu mengembangkan keturunan hasil percampuran pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.

Gadis Bidayuh itu yang jatuh cinta dengan jejaka India, C Nirmelraj, 31, tidak menunggu lama untuk meneruskan hubungan mereka ke fasa seterusnya iaitu ke gerbang perkahwinan yang berlangsung pada September 2018.

"Dalam keluarga kami, ramai yang kahwin campur termasuk ibu saya yang asal daripada kaum Kenyah mengahwini bapa, orang Bidayuh. Kebanyakan perkahwinan campur dalam keluarga kami membabitkan individu berasal dari Sarawak.

"Namun, saya adalah ahli keluarga yang pertama berkahwin dengan lelaki India dari Semenanjung yang berbeza agama dan bangsa, tetapi tiada tentangan daripada ahli keluarga untuk kami membina hidup bersama," katanya yang memaklumkan dikurniakan bayi lelaki, N Uthisran berusia lapan bulan.

Leonora Ester berkata, dalam perhubungan yang berbeza kaum dan agama, kedua-dua pihak atau keluarga perlu ada rasa hormat-menghormati serta saling bertoleransi.

"Pada awal perhubungan saya dengan suami dulu, ada juga rakan yang kurang senang dengan hubungan kami. Namun selepas kami berkahwin, semua rakan saya senang dengan perwatakan suami yang mesra dan peramah selain fasih bercakap dalam bahasa Melayu Sarawak.

"Tidak kira apa bangsa, kaum atau agama pasangan kita atau ahli keluarga mereka, kita perlu cuba untuk memahami mereka dengan mengenali hati budi masing-masing," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my