WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

AIMAN JUAL CHAR KUEY TEOW

Bagi penyanyi dan pelakon, Aiman Tino, dia sedar apa yang berlaku ini mengganggu industri hiburan tanah air


Back To Whats Hot

Dalam tempoh penularan Covid-19 ketika ini, satu pekerjaan tidak menjamin masa depan dan juga dapat menampung kelangsungan hidup.

Bagi penyanyi dan pelakon, Aiman Tino, dia sedar apa yang berlaku ini mengganggu industri hiburan tanah air.

Disebabkan itu, Aiman tidak mahu duduk diam dan hanya menunggu rezeki datang bergolek.

Dia kini mula mengorak langkah sebagai usahawan dan ingin membuka empayar perniagaan makanan.

"Saya memilih perniagaan makanan kerana dalam keadaan sekarang, makanan tetap orang cari," katanya.

Aiman berkata, semangatnya kini berkobar-kobar untuk membuka perniagaan char kuey teow.

"Jika ditanya mengenai risiko, tentunya timbul rasa gusar sebab saya pun tak lama lagi nak mulakan perniagaan. Namun, insya-Allah saya yakin bahawa perniagaan berkaitan makanan tidak akan terjejas teruk seperti perniagaan lain," katanya.

Ditanya sama ada industri seni tidak mampu lagi menampung kelangsungan hidupnya, Aiman berkata, itu bukan tujuan utama kenapa dia memilih untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

"Seperti yang semua sedia maklum, industri muzik terjejas agak teruk. Mungkin semuanya akan kembali kepada asal sekiranya krisis ini selesai. Tapi, kita sendiri pun tak tahu bila ia akan habis.

"Apa yang boleh saya katakan, dengan menceburi bidang perniagaan, sedikit sebanyak saya dapat mencari rezeki lain untuk menampung kehidupan," katanya.

Aiman juga tidak menafikan bahawa tawaran kerja seninya sedikit sebanyak terjejas apabila negara dilanda pandemik Covid-19 ini.

"Kalau dari segi tawaran kerja untuk acara persembahan nyanyian dan sebagainya, itu memang terjejas. Namun, saya bersyukur kerana ada beberapa syarikat produksi yang melihat dan nampak bakat lakonan saya. Itu sekali gus membuka peluang baharu untuk saya mencuba nasib dalam bidang lakonan," katanya.

Apa yang pasti, Aiman sentiasa mengharapkan supaya krisis ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan semua kerja-kerja seni dapat kembali beroperasi seperti biasa.

Sumber: Harian Metro
oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my
Foto Instagram Aiman Tino