WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

K-CLIQUE TERCALON MTV EMA 2020

Kumpulan hip hop dari Kota Kinabalu, Sabah ini terus melakar pencapaian luar biasa hingga ke peringkat antarabangsa


Back To Whats Hot

Dengan nama semakin dikenali, sememangnya tahun ini cukup indah buat K-Clique.

Kumpulan hip hop dari Kota Kinabalu, Sabah ini terus melakar pencapaian luar biasa hingga ke peringkat antarabangsa.

Pencalonan di Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) semestinya antara yang sangat dibanggakan kerana ia mengiktiraf ramai artis ternama.

Justeru, kumpulan dianggotai Somean, Noki, MK, Tuju, KDeaf, Gnello, FareedPF dan NastyNas itu berharap mereka mampu menang dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik itu.

Dalam masa sama, mereka juga tidak sangka dengan pencapaian itu.

Salah seorang anggotanya Somean berkata, dia berharap rezeki berpihak kepada mereka sekali gus membanggakan nama negara. Walaupun masih kerdil jika dibandingkan dengan calon lain, mereka percaya kepada rezeki.

"Pengikirafan ini sudah terlalu besar untuk kami. Ini kerana kami adalah pendatang baharu dalam industri muzik tempatan dan kini mulai mendapat perhatian di pentas antarabangsa pula. Semestinya sangat bersyukur kerana kami bukan siapa-siapa. Tidak terjangkau akal bahawa suatu hari nanti kami akan dicalonkan untuk MTV EMA," katanya.

Mengimbau perjuangan mereka sejak bermula di kampung halaman, Somean berkata, ia bukanlah mudah. Ketika berusaha gigih untuk diterima, mereka turut dihujani dengan pelbagai tanggapan sinis.

Pada peringkat awal, muzik mereka kedengaran terlalu asing dan belum mengena di hati pengikut muzik tempatan. Bagaimanapun, mereka perlahan-lahan diterima sehinggalah kini sudah berjaya mencipta legasi tersendiri.

Bagi Somean, kerja keras mereka sangat berbaloi terutama corak penghasilan muzik yang dibuat secara teliti dengan konsisten. Justeru, mereka tidak perlu terkesan dengan setiap pandangan yang tidak membina dalam muzik mereka.

"Apa yang kami usahakan selama ini hanyalah untuk menghasilkan muzik terbaik dan berkualiti. Dalam setiap penghasilan karya, kami lakukannya seikhlas hati dan menyerahkan kepada pendengar sama ada mahu menyukainya atau tidak," katanya.

Bakal berentap dengan artis nama besar dalam kategori itu seperti Agnez Mo dari Indonesia, Ben & Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam), K-Clique menyimpan harapan besar untuk menang.

"Sebenarnya, sudah dapat dicalonkan pun sangat membanggakan buat kami dan ia terlalu besar. Namun, kami tetap simpan impian besar untuk menang disebabkan ia satu anugerah yang cukup berprestij," katanya.

Tarikh undian bagi MTV EMA 2020 berakhir kelmarin selepas dilangsungkan sejak awal Oktober lalu.

Terdahulu, penyanyi rap Joe Flizzow mencipta sejarah menjadi penyanyi sulung dari Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung di Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.

Dalam pada itu, K-Clique turut dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) untuk dua kategori iaitu Lagu Paling Boom Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

ABPBH33 bakal berlangsung pada 13 November ini dengan norma baharu tanpa penonton di Axiata Arena, jam 9 malam. Tarikh tutup undian untuk anugerah itu adalah pada 8 November ini.

Sumber: Harian Metro
oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my