WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

NETFLIX CALONKAN BOSEMAN AKTOR TERBAIK OSCAR 2021

Platform Netflix bakal mencalonkan Chadwick Boseman dalam kategori Aktor Terbaik pada Anugerah Oscar 2021


Back To Whats Hot

London: Platform Netflix bakal mencalonkan Chadwick Boseman dalam kategori Aktor Terbaik pada Anugerah Oscar 2021 menerusi lakonannya dalam filem Ma Rainey's Black Bottom yang akan ditayangkan pada Disember ini.

Mereka yang mula mengeluarkan trailer pertama filem itu mengesahkan perkara terbabit menerusi temubual dengan sebuah majalah baru-baru ini.

Jika ia berhasil dan menjadi kenyataan, Boseman akan menjadi calon pelakon lelaki terbaik dengan status sudah meninggal dunia.

Sebelumnya ia hanya pernah diraih oleh Massimo Troisi pada Oscar 1995 menerusi lakonannya dalam Il Postino.

Dalam Ma Rainey's Black Bottom, Boseman berlakon sebagai Levee, pemain trompet untuk pemuzik wanita kulit hitam yang dikenali dengan julukan The Mother of the Blues, Ma Rainey (Viola Davis).

Filem ini berkisarkan pada perjuangan kedua pemuzik ini menentang penerbit kulit putih yang mencuba merebut urusan penerbitan proses rakaman album terakhir Ma Rainey pada 1927.

Platform penstriman ini juga akan mencalonkan Davis untuk kategori Aktres Terbaik pada acara sama.

Sekiranya berjaya, Anugerah Oscar 2021 akan mencatat sejarah kerana mencalonkan dua pelakon kulit hitam dari filem sama di kategori utama. Situasi ini hanya pernah berlaku sekali pada 1985.

Sementara itu, Netflix juga akan mencalonkan pelakon lain filem itu antaranya Glynn Turman, Colman Domingo, Michael Potts dan Taylour Paige, agar boleh dimasukkan dalam kategori pelakon sokongan.

Selain Ma Rainey's Black Bottom, Netflix juga bakal mendaftarkan Boseman untuk pencalonan kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Da 5 Bloods arahan Spike Lee.

Jika diterima, Boseman akan menjadi pelakon ketiga yang meraih pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik selepas meninggal dunia.

Boseman meninggal dunia pada 28 Ogos lalu selepas beberapa tahun berjuang melawan kanser usus.

Dia masih terbabit dengan penggambaran beberapa filem biarpun dalam keadaan sakit.

Boseman menyembunyikan penyakitnya supaya dia boleh terus berlakon sehinggalah kematiannya mengejutkan peminat.

Sumber: Harian Metro
Foto Zimbio