WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

'KUASA' TAKRIFAN JOE FLIZZOW

Berbekalkan nama prolifik, Joe Flizzow terus meluaskan kuasanya dalam gelanggang hip hop tempatan mahupun di peta dunia


Back To Whats Hot

Berbekalkan nama prolifik, Joe Flizzow terus meluaskan kuasanya dalam gelanggang hip hop tempatan mahupun di peta dunia. Sebagai antara pelopor budaya hip hop di Malaysia, takrif kuasa di mata Joe adalah tersendiri.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 41, sentiasa memegang prinsip bersuara secara jujur termasuk dalam single baharunya, Kuasa. Seakan tepat gambarkan pengaruh dalam dirinya sendiri, mesej lagu itu sebaliknya bukan bermotif menunjuk.

Dalam mencorak karyanya, Joe mengakui setiap lagu dihasilkan adalah peringatan penting buat dirinya sendiri secara peribadi. Dia sedar dirinya juga tidak sempurna, justeru dia abadikan lirik setiap lagunya pedoman untuk sentiasa beringat.

"Saya adalah seorang pengkarya yang lebih suka menulis lagu untuk dijadikan peringatan kepada diri sendiri. Saya akui saya bukan jenis artis yang suka memberi nasihat sebaliknya kata-kata dizahirkan dalam lagu itu ditujukan buat saya sendiri.

"Pendengar bebas untuk melihat karya saya daripada perspektif mereka sendiri juga. Namun, secara peribadi, saya lebih suka untuk bertanya menerusi lirik lagu mengenai persoalan yang bermain di fikiran saya.

"Paling penting adalah saya mahu menekankan nilai-nilai berkualiti yang sepatutnya kena ada dalam sifat semua orang. Prinsip saya mudah dan sangat berterus-terang di samping tetap menjaga teguh reputasi, nama keluarga dan kualiti diri," katanya.

Joe berkata, takrifannya dalam lagu Kuasa hasil kerjasama dengan Azlan itu mengambil semua sudut dari pelbagai konteks. Dia tidak mahu kuasa yang dimaksudkannya itu disalah tafsir sebaliknya perlu pemahaman menyeluruh.

"Apabila menghayati secara terperinci korus lagu itu, mesejnya merangkumi semua konteks berkaitan kuasa. Bukan semua hal yang membabitkan kuasa adalah tidak baik atau kuasa membawa lebih banyak keburukan.

"Contohnya, kuasa yang ada pada seseorang itu bukan bermaksud rakus mengejar wang atau apa. Banyak hal lagi yang boleh ditakrifkan sebagai kuasa seperti mana contohnya atlet, mereka gunakan kuasa untuk sebarkan inspirasi.

"Itu antara metafora yang saya boleh gambarkan mengenai apa saya cuba terapkan dalam karya terbaharu ini. Saya harap lagu ini akan mendapat kuasa sokongan ramai tidak kiralah dengan menonton muzik videonya, strim, atau pun pembelian barangan cenderahati khas," katanya.

Berkongsi lanjut kerjasama dengan Azlan itu, Joe mengakui dia memang sudah lama mengagumi kemampuan vokalnya. Bagaimanapun, ini pertama kali dia dapat merealisasikan hajat bersatu dalam lagu.

Menurutnya, semua bermula apabila mereka pernah berkongsi pentas beberapa tahun lalu menerusi satu acara. Dia akui, Azlan memang calon terbaik untuk melunaskan Kuasa dengan jiwa nyanyian hebatnya.

"Kalau ikutkan, memang sudah lama pun kenal Azlan. Pada 2018, kami kemudian sempat menjayakan bersama upacara penutup Sukan Sea dan dari situlah terbit hajat untuk kami bekerjasama.

"Sejujurnya, saya akui memang sangat kagum terhadap vokalnya. Apabila hasilkan Kuasa, saya memerlukan vokal yang benar-benar boleh mengangkat jiwa lagu itu dan tiada lain terus terfikir Azlan.

"Jelas percaturan saya tepat apabila proses menyiapkan lagu itu bersamanya memang sangat mudah dan pantas. Kami cuma ambil masa sejam dan saya harus puji sifat profesionalnya yang sangat tinggi," katanya.

Tenang selepas kahwin

Tanggal 26 Jun lalu menjadi detik terbahagia buat Joe apabila disatukan dengan suri hatinya, Marini Ramlan. Terutama buat orang terdekat, detik itu paling ditunggu apalagi kedua-duanya memang cukup sepadan.

Joe tidak menyembunyikan kegembiraannya apabila diajukan soalan itu. Nada sembangnya terus bertukar ceria di mana dia mengakui dirinya sangat bahagia sekarang selain tenang selepas melangkah ke fasa baharu sebagai suami.

"Sekarang saya sangat tenang, aman dan fokus. Isteri saya adalah insan yang selama ini sentiasa menjadi orang penting berada di sebelah dan gembira apabila kami akhirnya bersatu sebagai pasangan hidup.

"Saya juga tidak mahu lupakan semua yang tidak putus mendoakan kebahagiaan kami serta kelancaran majlis. Mohon maaf, kami tidak dapat adakan majlis secara besar-besaran selepas kita diuji dengan situasi pandemik Covid-19," katanya.

Joe bersyukur apabila majlis jadi lebih sangat bermakna apabila mendapat hadiah istimewa daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Walaupun hanya dihadiri 20 orang terdekat, baginya majlis itu sudah lebih dari lengkap.

"Paling saya terharu adalah busana yang saya dan isteri diperbuat daripada kain diberi Raja Permaisuri Agong. Selain kain, baginda turut menghadiahkan sejadah dan al-Quran bagi melengkapkan lagi majlis kami.

"Majlis itu sangat indah dan berlangsung mengikut adat dengan tema tradisional. Sebaik semua selesai, barulah kami dapat menyelesaikan hal-hal lain seperti pengambilan foto secara rasmi," katanya.

16 BARIS bakal takluk dunia

Dalam pada itu, Joe turut berkongsi kegembiraan apabila program terbitannya 16 BARIS bakal diperluas ke seluruh dunia dan bukan sekadar di Asia Tenggara saja.

Baginya, pencapaian itu sangat mengujakan apalagi dia sendiri tidak putus menaik taraf kualiti rancangan itu.

Disiarkan di saluran YouTube rasmi 16 BARIS, rancangan itu berjaya membuka mata ramai pejuang hip hop sekitar nusantara untuk mencuba nasib. Tidak ketinggalan, platform terbabit turut menaikkan ramai nama penyanyi rap handalan tempatan dari Indonesia dan Singapura.

Menurut Joe, kini dia tidak sabar untuk mencungkil bakat dari seluruh pelosok dunia lain pula selepas rancangan itu kian mengumpul pengikut tersendiri. Baginya, pencapaian itu sudah cukup membanggakan terutama ia produk tempatan Malaysia.

"Kami akan sambung semula penerbitan 16 BARIS pada hujung tahun ini. Yang pasti, ia akan dibawa jauh ke pentas dunia di mana rancangan itu bakal membabitkan peserta dari Australia, New Zealand dan Thailand.

"Dalam perancangan, penggambaran untuk musim baharu itu akan dilakukan sekitar Oktober atau November selepas direhatkan setahun. Ada hikmahnya ia direhatkan kerana tidak lama lagi akan kembali lebih besar lagi.

"Saya amat bangga apabila produk hip hop tempatan kita mendapat perhatian yang cukup luar biasa. Konsepnya berjaya diterima baik di pentas dunia dan semestinya inilah yang kita mahukan untuk majukan industri hip hop kita," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my