WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

NING HAMPIR DIGODAM

Penyanyi popular Ning Baizura, 45, pernah berdepan detik cemas apabila akaun media sosialnya hampir digodam


Back To Whats Hot

Penyanyi popular Ning Baizura, 45, pernah berdepan detik cemas apabila akaun media sosialnya hampir digodam individu tidak dikenali semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah ketika ditemui berkata, dia menyedari perkara ini apabila melihat daftar masuk di Facebook yang mencurigakan.

"Saya dapati seperti ada usaha orang luar dari Maldives dan entah dari mana lagi untuk menggodam Facebook saya. Memang permulaannya penggodam ini akan daftar masuk dari lokasi lain dan kemudian akan mula buat hantaran status.

"Panik juga dibuatnya dan saya segera menghubungi pemilik syarikat pengurusan Paranormal, Prashan Chitty untuk meminta bantuan," katanya.

Prashan mengajarnya apa yang perlu dilakukan. Ning juga mendapatkan nasihat daripada Sazzy Falak yang pernah mengalami perkara serupa.

"Prashan banyak bantu saya selesaikan perkara ini. Saya buat sendiri apa yang perlu untuk selamatkan akaun dan proses ini memakan masa hampir setengah hari. Ini satu proses pembelajaran buat saya untuk jaga media sosial. Ini mata pencarian kita di mana semua artis sekarang gunakannya untuk perniagaan.

"Ketika PKP orang tak dapat buat apa-apa aktiviti. Begitu juga 'scammer' yang menghadap komputer dan buat kerja mereka," katanya.

Bercerita lanjut, Ning mengakui memanfaatkan sepenuhnya laman sosial untuk merapatkan hubungan dengan peminat.

"Saya selesa menjawab sendiri setiap soalan yang diajukan peminat tidak kira berapa usia mereka. Tiada halangan langsung untuk kita merapatkan hubungan dengan peminat. Sangat menarik tapi kalau tersilap langkah memang akan merana juga.

"Kita kena kawal sendiri laman sosial dan jawab sendiri soalan yang ditanya. Saya ada pasukan antaranya pengurusan Paranormal yang bantu cari tawaran menerusi media sosial," katanya.

Menurutnya, selepas apa yang berlaku, dia mengambil keputusan mengurus sendiri akaun Facebook kerana tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya pernah menugaskan seorang individu untuk mengendalikan Facebook saya sebelum ini. Bagaimanapun apabila jadi begini, ada baiknya saya urus sendiri akaun Facebook.

"Ia adalah cara terbaik kerana kita tak boleh salahkan sesiapa sekiranya berlaku apa-apa," katanya.

Ning ditemui ketika proses rakaman lagu Perwiraku di studio Cranky Music, Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar ini dihasilkan sempena kempen Hari Pahlawan.
 
Sumber: Harian Metro
oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
FOTO Hairul Anuar Rahim