WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST BABA'S

06.00am - 10.00am

TAYANG KEMBALI FILEM TERTUNGGAK

Pengumuman panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini


Back To Whats Hot

Pengumuman panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini jelas menggembirakan ramai, bukan saja pihak panggung wayang tetapi juga orang ramai yang tidak sabar menonton filem terbaru.

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai berkata, pihaknya teruja untuk menayangkan filem yang tergendala tayangannya serta beberapa filem paling ditunggu-tunggu ramai.

"Apabila kami beroperasi kembali pada 1 Julai ini, kami pasti akan tayangkan semula beberapa judul filem yang baru memasuki panggung tetapi terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya Bloodshot, Onward, Fantasy Island, Trolls World Tour dan banyak lagi.

"Berita baik untuk semua, beberapa judul besar seperti Tenet arahan Christopher Nolan dan filem Disney, Mulan bakal ditayangkan pada bulan depan. Banyak lagi filem  besar lain yang menyusul selepas ini.

"Apapun, sebarang perkembangan lanjut akan kami kongsikan menerusi media sosial rasmi berhubung pembukaan semula panggung kami," katanya.

Apa yang pasti, pihak TGV Cinemas akan bekerja keras memastikan segala persiapan untuk kembali beroperasi berada pada tahap terbaik.

Menurut Yeoh, mereka ingin pengalaman menonton wayang normal baharu menepati jangkaan pelanggan.

"Kami sudah lakukan segalanya untuk persiapan itu termasuk pembersihan menyeluruh dan sanitasi di semua premis serta segala aspek keselamatan lain. Kami yakin, pembukaan semula ini bakal menerima sambutan yang baik.

"Apapun, paling utama adalah untuk memastikan pengalaman pelanggan kami menepati seperti mana mereka jangkakan. Persekitaran terbaru nanti akan menuntut banyak turutan keselamatan namun tidak menjejaskan keterujaan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP), Yeoh berkata, mereka patuh kepada semua saranan yang dikeluarkan termasuklah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pelan tempat duduk dalam panggung wayang akan lebih unik dan diubah bagi wujudkan penjarakan sosial. Dua kerusi akan dikosongkan bagi menjarakkan setiap penonton sebagaimana yang disarankan WHO," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my