WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

HIKMAH AIDILFITRI DI SEBALIK COVID-19

Maya Karin bersama empat pekerja yang membantu perniagaan burger bakar yang kini membuka cawangan kedua di Bandar Menjalara


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Tidak sekelumit rasa sayu biarpun Aidilfitri diraikan berbeza akibat penularan COVID-19.

Sebaliknya, pelakon dan penyanyi, Maya Karin menganggap musibah melanda memberi pengajaran berguna kepada manusia.

Maya berkata, dalam meraikan hari mulia, ada baiknya umat Islam belajar bersederhana dan mengelak pembaziran, apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dengan cara itu, tambah aktivis alam sekitar berusia 40 tahun ini, umat Islam lebih menghargai antara satu sama lain.

"Sebenarnya, sambutan Hari Raya begini bagus untuk semua umat Islam. Ia memberi pengajaran dan hikmah berguna buat kita semua.

"Kita dapat merasa bagaimana orang yang tidak berkemampuan menyambut raya. Selalunya, setiap kali raya, kita mahu membeli baju mahal, tukar langsir setiap tahun dan bermacam-macam lagi.

"Jadi, tahun ini mengajar kita bersederhana seperti bagaimana insan kurang bernasib baik, orang miskin, pelarian dan sebagainya menyambut Aidilfitri," katanya kepada BH Online.

Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004 itu berkata, dia tidak menyediakan persiapan menyambut Lebaran.

Baginya, cukuplah ibu ada bersama untuk meluangkan masa di rumah.

"Tiada persiapan untuk Aidilfitri kali ini. Sejujurnya, saya tak fikir langsung soal Hari Raya.

"Baju raya pun tak beli, saya kitar semula pakaian tahun-tahun lalu.

"Saya tidak tahu hendak pergi mana, hanya duduk di rumah tonton televisyen (TV) bersama ibu," kongsi aktres berdarah campurkan Melayu-Jerman itu.

Dalam perkembangan lain, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam ini seronok menjual burger bakar yang diusahakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perniagaan itu bermula apabila seorang rakan meminta dia menyimpan alat pembakar dan kiosk besar di rumahnya di Kampung Sungai Penchala, Sungai Buloh.

Mengambil kesempatan perkakasan tersedia, Maya menghasilkan 25 biji burger secara suka-suka untuk jiran.

Namun, sehingga akhir Ramadan, Maya mengambil tempahan antara 100 hingga 200 biji burger bakar sehari.

"Disebabkan permintaan tinggi, saya tambah cawangan kedua di Bandar Menjalara. Saya tidak sangka dan tidak merancang perniagaan ini akan pergi sejauh ini.

"Alhamdulillah, dengan pekerja yang bagus, saya gembira burger bakar ini dapat mendatangkan kegembiraan kepada orang lain," katanya yang terharu ada pembeli sanggup datang dari Seri Kembangan untuk merasa burger bakar jualannya.

Maya berniat meneruskan perniagaan burger bakar selagi ada permintaan.

"Ada yang meminta saya membuka cawangan di Putrajaya, Pulau Pinang dan tempat lain," katanya yang gembira dapat memberi pendapatan kepada lima individu tidak dapat bekerja sepanjang PKP melalui bisnes burger bakar.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my
Foto Instagram Maya Karin