WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

LARANGAN PERJALANAN ANTARA DAERAH DI SARAWAK KEKAL - UGGAH

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perjalanan antara daerah masih tidak dibenarkan di Sarawak


Back To Whats Hot

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perjalanan antara daerah masih tidak dibenarkan di Sarawak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Menegaskan perkara itu, beliau berkata larangan itu cuma berkuat kuasa di Sarawak kerana negeri ini seluas Semenanjung Malaysia dan zon hijau berada dalam daerah tertentu menyebabkan sekatan perjalanan antara daerah masih perlu.

“Saya telah nyatakan bahawa angka-angka kes positif yang berlaku di luar bandar adalah kerana ada perjalanan mangsa atau mereka yang positif COVID-19 dari Kuching ke tempat yang tertentu di mana COVID-19 merebak.

“Jadi kita cuba untuk menghalang perkara ini berlaku kerana ia merupakan rantaian utama penularan COVID-19 di negeri ini walaupun antara zon hijau dengan zon hijau,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata bagi situasi di Sarawak, isu perjalanan antara zon tidak boleh dibangkitkan kerana pergerakan rentas daerah menjadi penekanan di negeri ini.

Sehubungan itu katanya bagi menyekat perjalanan antara daerah berlaku, syarikat pengangkutan awam di negeri ini hanya tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan perjalanan antara bahagian.

“Kita telah memutuskan misalnya di Miri, perkhidmatan pengangkutan awam hanya dalam bahagian Miri begitu juga di Kuching.

“Bagaimanapun, siapa yang hendak menaiki bas atau pengangkutan awam tersebut, ia mesti mendapat permit perjalanan daripada polis, atau bagi penjawat awam yang hendak turun kerja dari Serian ke Kuching misalnya, dia mesti menunjukkan surat daripada ketua jabatan bahawa dia hendak turun kerja.

“Kita juga telah memberitahu kepada pengusaha-pengusaha bas adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menentukan penumpangnya mempunyai dokumen yang betul, kalau tidak memainkan peranan itu tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha berkenaan,” ujarnya.

Uggah berkata di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menghalang perjalanan antara daerah, polis akan membuat pemeriksaan ke atas bas bagi memastikan jumlah penumpang hanya separuh daripada kapasiti penuh.

Ini penting ujarnya bagi memastikan penjarakan sosial antara penumpang di dalam bas dipatuhi.

“Semua SOP ini telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha bas awam oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak, mereka ini telah bermesyuarat dan dimaklumkan mengenai perkara ini. Jadi kita minta semua pihak bekerjasama untuk kebaikan bersama,” katanya,

Sumber: Utusan Borneo
oleh Patricia Gari