WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

ARTIS TAIWAN RAKAM LAGU DJ FUZZ

DJ Fuzz bangga karya hasil kolaborasi dengan pencipta lagu lain mendapat perhatian syarikat rakaman di Taiwan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Komposer, DJ Fuzz terharu apabila karya yang diciptanya bersama peserta kem penulisan lagu di Taipei, Taiwan, dipilih untuk dirakam salah seorang penyanyi negara terbabit.

DJ Fuzz, 43, berkata, perhatian diberi syarikat rakaman terbabit dianggap suatu penghargaan besar buatnya.

"Saya tidak sangka lagu ciptaan saya akan didendangkan penyanyi luar negara. Selama ini, saya cipta lagu untuk penyanyi tempatan sahaja.

"Apabila mendapat berita ini, saya berbesar hati. Tidak semestinya lagu itu akan menjadi 'besar', dinyanyikan orang luar sudah cukup membuatkan saya terharu.

"Namun, saya harap lagu itu hit. Mungkin selepas itu, peluang lebih besar untuk saya bekerjasama dengan syarikat rakaman dan penyanyi terbabit," katanya kepada BH Online.

Lagu yang dipilih adalah kerjasama DJ Fuzz dengan beberapa komposer dari Finland, Korea, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS) yang menyertai kem penulisan lagu itu, dua tahun lalu.

Menceritakan pengalaman menyertai kem itu, DJ Fuzz berkata: "Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) menghantar saya ke Taipei untuk menyertai kem terbabit selama seminggu. Program itu dihadiri kira-kira 50 komposer dari beberapa negara.

"Kami dibahagikan kepada kumpulan dengan setiap pasukan ada empat hingga lima orang. Setiap kumpulan perlu menghasilkan dua lagu untuk persembahan.

"Sebaik diperdengarkan, ada yang suka lagu kami. Tetapi, ketika itu, tiada pihak yang berminat mengambil lagu itu," katanya.

DJ Fuzz berkata, tiga hari lalu, dia menerima e-mel dari sebuah syarikat rakaman di Taipei meminta izin menggunakan lagu berkenaan.

Menerusi perbincangan, lagu itu akan dinyanyikan dalam bahasa Mandarin untuk pasaran Taiwan.

Sementara itu, DJ Fuzz memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) dengan menghasilkan sebuah album dan tiga album kompilasi.

"Lagu yang dihasilkan sesuai untuk mood santai. Semuanya berkonsepkan instrumental.

"Pendengar boleh 'melayan' karya saya di platform digital seperti Spotify dan Joox," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my