WHAT'S NEXT

CATS UJUNG MINGGU

01.00pm - 04.00pm

SYARIKAT PRODUKSI HARAP SOP 'SHOOTING' LULUS

Syarikat produksi berjanji mematuhi SOP ditetapkan kerajaan andai kebenaran menyambung kerja penggambaran sepanjang PKPB diberi kerajaan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berharap kerajaan segera meluluskan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ahmad yang lebih dikenali sebagai Mat London berkata, syarikat produksi seboleh-bolehnya mahu menyambung aktiviti penggambaran minggu hadapan, namun, bersabar menanti keputusan kerajaan.

"Selagi tidak mendapat keputusan kerajaan, keadaan kami seperti 'tergantung'. Jadi, kami harap dengan adanya SOP, kami boleh mendapat kelonggaran dalam meneruskan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jika tidak izinkan kami menjalankan penggambaran drama, sekurang-kurangnya benarkanlah kami menyiapkan naskhah yang tidak memerlukan tenaga kerja ramai seperti dokumentari dan travelog," katanya kepada BH Online.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan akan melakukan kajian terperinci mengenai cadangan SOP aktiviti penggambaran sebelum membuat keputusan.

Ismail dilaporkan berkata, cadangan SOP itu dikemukakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Selasa lalu, namun belum ada keputusan dibuat.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu ditangguhkan dan kemungkinan selepas Aidilfitri perkara itu akan dipertimbangkan semula.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Khoo Kay Lye berkata, syarikat produksi pasti akur dengan SOP jika kebenaran diberi untuk menyambung aktiviti penggambaran.

"Pasti kami akan mematuhi SOP. Apatah lagi, sebelum ini, kami juga yang menyediakan garis panduan untuk dipertimbangkan.

"Terima kasih kepada kerajaan dan FINAS kerana menimbang cadangan kami.

"Syarikat produksi akan patuh sebaik mungkin. Dengan adanya SOP, kami boleh bekerja. Jika tidak, kami tiada bergaji dan tidak dapat membeli makanan serta keperluan lain," katanya.

Sehubungan itu, Khoo menggesa setiap pekerja industri mematuhi SOP ditetapkan mengikut sektor.

"Semua pekerja perlu patuh SOP agar penularan COVID-19 dapat dielak.

"SOP disediakan demi kebaikan industri. Jika baik untuk semua pihak, baik jugalah untuk kami," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my