WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

AWAL PILIH 'BERKURUNG' PADA AIDILFITRI

Awal Ashaari akan muncul dalam program Havoc Nak Raya pada malam raya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan memberikan kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun pengacara, Awal Ashaari, 39, tidak teruja mahu keluar rumah.

Ini berikutan pengacara Melodi itu masih skeptikal dan tidak yakin dengan tahap keselamatan, selagi vaksin untuk menghapus virus COVID-19 belum ditemui.

"Saya terpaksa bergegas ke sebuah pusat membeli-belah untuk membeli dakwat mesin pencetak untuk kerja sekolah anak, Lara Alana. Jika sebelum ini, rasa seronok bila dapat keluar rumah, tetapi sekarang perasaan sedikit berbeza sejak wabak COVID-19 menular. Saya buat pembelian secepat mungkin dan terus pulang ke rumah.

"Keadaan sekarang agak merumitkan apabila dikehendaki memakai topeng wajah dan berkongsi maklumat diri sebelum memasuki pusat membeli-belah.

"Bagi saya, agak melecehkan untuk seorang selebriti apabila perlu berkongsi maklumat, nombor telefon dan sebagainya. Bukan apa, saya cuma bimbang sekiranya 'privasi' terdedah, tetapi saya faham mereka juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya kepada BH Online.

Awal berkata, keadaan hari ini sangat berbeza disebabkan pandemik COVID-19.

"Sepatutnya saya hanya memerlukan sekitar lima minit membeli dakwat mesin pencetak, tetapi ia menjadi berjam-jam. Nak masuk ke kedai kena beratur panjang, selain perlu menulis maklumat peribadi dan sentiasa memakai topeng muka.

"Jika tiada topeng, tidak dibenarkan masuk ke pusat membeli-belah. Saya lihat ia sudah menjadi aksesori wajib seperti telefon bimbit dan kunci kereta," kata Awal yang berharap keadaan ini tidak berpanjangan.

Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, situasi wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya menyebabkannya memilih untuk menyambut Syawal di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri, Scha Alyahya tetap akan berkunjung ke rumah keluarga dan mentua, tetapi dalam keadaan berhati-hati memandangkan memiliki anak kecil serta orang tua yang uzur.

"Mulanya, saya keliru apakah aktiviti kunjung mengunjung dibenarkan. Bagaimanapun, saya lega mendengar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu. Kunjungan hari raya dibenarkan tidak melebihi 20 orang.

"Biarpun ada kelonggaran, tetapi saya dan Scha tidak akan beriya-iya memandangkan Lara Alana masih kecil, manakala orang tua kami kurang sihat. Jadi, kami tidak mahu terlalu mendedahkan mereka pada bahaya.

"Mungkin kami akan berkurung juga, cuma keluar sekejap bertemu ibu bapa masing-masing," kata Awal yang masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baru.

Awal berkata, dia bersama Sherry Alhadad dipertanggungjawabkan mengendali program Havoc Nak Raya. Menemui penonton pada malam raya, program berkenaan menampilkan konsep seperti Sampaikan Aidilfitri di TV3.

Bagaimanapun, katanya, program Havoc Nak Raya tidak akan disiarkan secara langsung, sebaliknya hanya rakaman. Program berkenaan akan mengundang ramai artis popular yang akan membuat persembahan dan berkongsi persiapan raya, tahun ini.

"Saya tak pernah ketinggalan menonton program Sampaikan Aidilfitri setiap kali malam raya, sejak di bangku sekolah lagi. Seperti tidak lengkap menyambut Syawal jika tidak menonton program ini, sambil membantu ibu mengisi kuih raya dalam balang.

"Apabila menonton program Sampaikan Aidilfitri, ia bagaikan membangkitkan mood raya. Begitu juga program Havoc Nak Raya, kami mahu penonton terhibur sambil membuat persediaan raya.

"Saya juga bakal mengendali program Melodi Raya, tetapi penggambaran dipecahkan kepada tiga minggu dalam keadaan sekarang. Apa yang berbeza, rakaman antara pengacara dan artis dilakukan secara berasingan," katanya.

Awal berkata, mungkin terasa agak janggal apabila dia dan Janna Nick terpaksa berlakon seolah-olah sedang bersama artis jemputan di studio, walhal rakaman bahagian artis dibuat lebih awal tanpa pengacara.

"Saya akui sangat mencabar apabila sesi temu bual dilakukan secara berasingan. Kami perlu berpura-pura mengangguk, ketawa dan membayangkan artis berada depan mata. Ia tugasan yang sukar sebenarnya," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my