WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

PKPB: ORANG RAMAI MULA KELUAR MEMBELI BELAH DI KUCHING

Selepas 55 hari ditutup, kawasan pasar dan pusat beli belah di bandar raya ini kembali beroperasi


Back To Whats Hot

KUCHING: Selepas 55 hari ditutup, kawasan pasar dan pusat beli belah di bandar raya ini kembali beroperasi dan dibanjiri pengunjung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati pengunjung Lebuh India dan pusat beli belah Plaza Merdeka mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Seorang pengunjung, Syaree Serah yang tinggal di Batu 6 di sini, berkata, dia dan isterinya datang ke Lebuh India sejak jam 8 pagi untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memang jarang keluar dari rumah dan hari ini mengambil peluang untuk membuat persiapan walaupun Ramadan  serta Aidilfitri tahun ini pastinya tidak semeriah seperti sebelumnya.

“Bagaimanapun saya amat bersyukur kerana orang ramai boleh keluar dan mengamalkan kebiasaan baharu dengan menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Salus Jait dari Kampung Siol Kandis berkata, pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini memberi peluang untuk orang ramai melakukan urusan selain membeli barangan persiapan untuk Aidilfitri dan Hari Gawai.

Walaupun masih rasa bimbang untuk keluar buat pertama kali sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, katanya beliau harus menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

“Perasaan takut memang ada tapi saya harus mendepani kebiasaan baharu ini dengan lebih tenang. Tiap kali keluar, saya akan berpesan kepada anak-anak dan diri sendiri untuk sentiasa berhati-hati dan menggunakan pelitup muka dan membawa pensantasi tangan,” katanya.

Seorang peniaga, Shajahan Sayed Ahmad, 60, berkata, kedai menjual kain fabrik miliknya memulakan operasi seawal pukul 8 pagi selepas lebih dua bulan tidak beroperasi susulan pelaksanaan PKP.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan PKPB di Sarawak sedikit sebanyak membantu kami yang sebelum ini menanggung kerugian kerana tidak beroperasi.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kami berniaga semula dan peniaga perlu bertanggungjawab menjaga mematuhi prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan,” kata pemilik kedai Salih Ahmad di Lebuh India di sini.

Bagi pengurus kedai Bata di Lebuh India, Lily Tnay berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga  dalam memastikan urusan jual beli dijalankan mengikut SOP.

“Sebelum buka kedai, kami akan buat sanitasi dahulu selain memastikan pelanggan mencatatkan nama dan nombor telefon mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya sambil memberitahu hanya tiga pelanggan sahaja dibenarkan masuk ke premis dalam satu masa.

Sementara itu, Pengarah Plaza Merdeka Holdings Sdn. Bhd, Datin Anriza Wong Cordero yang ditemui berkata, pihak pengurusan sentiasa melaksanakan SOP yang ditetapkan sebelum membenarkan peniaga, kakitngan, serta pelanggan memasuki kompleks itu.

“Ini termasuk pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, pensanitasi tangan selain perlu menjaga jarakan sosial,” katanya.

Menurutnya, pada hari pertama operasi semula hari ini, kira-kira 70 peratus peniaga membuka perniagaan manakala selebihnya tidak beroperasi kerana belum menjalankan kerja-kerja pembersihan di premis masing-masing.

"Malahan kedai salun rambut, kedai permainan kanak-kanak dan kedai urut tidak dibenarkan dibuka kerana ia berisiko terdedah dengan wabak COVID-19," katanya sambil menambah pusat beli-belah itu dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh PKPB ini.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Marlinda Mardzuki