WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

POLIS SARAWAK KURANGKAN SEKATAN JALAN RAYA, FOKUS JAGA SEMPADAN DAERAH DAN PEMERIKSAAN MENGEJUT

Sekatan jalan raya sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi yang tidak strategik ditutup


Back To Whats Hot

KUCHING: Sekatan jalan raya sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi yang tidak strategik ditutup, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Beliau menjelaskan, penutupan itu untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan keberkesanan penguatkuasaan PKP. 

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat kajian tentang keberkesanan penugasan yang melibatkan sekatan jalan raya, rondaan 'snap check' (pemeriksaan mengejut) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). 

"Untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan keberkesanan penguatkuasaan PKP, beberapa lokasi yang kita tutup kerana tidak strategik," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mengulas lanjut, Aidi berkata, anggota terlibat di lokasi sekatan jalan raya yang ditutup itu ditugaskan bagi memberi tumpuan di sempadan daerah dan menambah pasukan pemeriksaan mengejut.

"Ini lebih berkesan dalam mengesan mereka yang ingkar PKP," ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 19 individu ditangkap kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak bagi tempoh 24 jam dari 8 pagi Ahad sehingga 8 pagi hari ini. 

Menurutnya, daripada jumlah itu, Miri mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu tujuh orang diikuti Kuching empat orang dan Sarikei tiga orang. 

"Manakala Bintulu, Betong, Saratok, Lawas dan Matu Daro masing-masing satu tangkapan," katanya. 

Menurutnya kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Aidi menjelaskan, kesalahan menghalang penjawat awam (Seksyen 186)  dalam menjalankan fungsi jawatannya boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Manakala kesalahan melanggar peraturan 11(1), tegasnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda dan dipenjara atau kedua-duanya sekali. 

Sejak tempoh PKP bermula pada 18 Mac hingga semalam, sebanyak 2,004 orang ditangkap dan 1,363 orang dituduh di mahkamah.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Rusnan Mustafa