WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

IPD KUCHING JALAN OPERASI MENGEJUT COVID-19

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menjalankan operasi mengejut Ops COVID-19 di sekitar Kampung Gersik hingga Kampung Bintawa


Back To Whats Hot

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menjalankan operasi mengejut Ops COVID-19 di sekitar Kampung Gersik hingga Kampung Bintawa semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan penduduk kampung mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan berikutan penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Jelasnya, operasi mengejut itu semalam disertai IPD Kuching dengan 39 pegawai dan anggota daripada Unit Kereta Peronda (MPV), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Narkotik serta 12  penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Setakat ini (jam 5 petang semalam) kita telah menangkap lapan individu yang didapati berkeliaran dalam kampung (Gersik hingga Bintawa) tanpa alasan munasabah," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Jelas Merbin, kesemua yang ditangkap didapati ingkar PKP dan ditahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang mana jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Apa yang kita dapati tadi (semalam) mereka berkeliaran di laluan kampung ini dengan keluar secara berdua dalam satu kenderaan (motosikal).

"Apabila disoal siasat secara lisan mendapati mereka gagal memberi keterangan yang munasabah," jelasnya.

Tegas Merbin, kertas siasatan ke atas semua mereka yang ditangkap akan dibuat dan diserahkan kepada pihak pendakwaraya untuk dituduh di mahkamah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi tersebut akan terus dijalankan secara harian di kampung-kampung sekitar Kuching bagi memastikan masyarakat umum patuh pada arahan PKP.

Katanya, operasi pemantauan itu perlu dijalankan dalam usaha mencegah masyarakat melanggari arahan PKP sekali gus untuk mencapai matlamat pelaksanaan perintah tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai khususnya penduduk Kuching mematuhi arahan PKP agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Selain Kampung Gersik hingga Kampung Bintawa, operasi mengejut itu turut dijalankan di Jalan Astana, Petra Jaya.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Rusnan Mustafa