WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

HAIZA, SITI SARAH DAN DAFI BANTU 400 KELUARGA

Haiza Hanafi turut menghulurkan sumbangan membantu kepada penduduk daerah kelahirannya di Pontian, Johor yang berdepan dengan kesempitan hidup


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Mengambil keberkatan Ramadan, tiga penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, Haiza Hanafi dan Dafi sepakat menghulurkan bantuan keperluan asas kepada 400 keluarga yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Memilih 400 keluarga susah sekitar Pontian, Johor, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu mendapat kerjasama Indigital Music dan Pertubuhan Kebajikan Aspirasi Peduli Rakyat Marhaen.

Penyanyi Dag Dig Dug, Haiza yang juga anak jati Pontian berkata, dia mengambil kesempatan berkongsi rezeki bersama penduduk daerah kelahirannya terjejas dan putus punca pendapatan sejak tempoh PKP.

"Ini tanggungjawab sosial saya, Sarah dan Dafi dalam membantu keluarga yang memerlukan. Saya faham ramai yang bekerja dengan gaji dibayar harian. Jadi, kami memahami kesusahan mereka apabila tidak boleh bekerja dalam tempoh PKP ini.

"Kami mengambil inisiatif menghulurkan bantuan keperluan asas. Sekurang-kurangnya, dengan bantuan tidak seberapa ini boleh mereka menyambut Ramadan dengan tenang," kata Haiza.

Sumbangan kepada keluarga berkenaan disampaikan Pegawai Perhubungan Awam, Indigital Music, Norwati Manan yang mewakili artis naungannya. Antara barangan keperluan diagihkan seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan beberapa barangan keperluan lain.

Pada fasa pertama agihan, mereka menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan termasuk anggota polis dan tentera yang mengawal kawasan berkenaan.

Penyanyi lagu Manis, Siti Sarah berkata, dia bersyukur dapat berkongsi rezeki, meskipun tidak dapat turut padang dalam misi menghulurkan bantuan berkenaan.

"Saya sedar inilah fasa getir yang dilalui masyarakat seluruh dunia. Saya berharap, kita dapat bersabar dan reda menghadapi ujian ini.

"Semoga lebih ramai masyarakat yang prihatin dan dapat bantu membantu menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Indahnya kehidupan apabila saling membantu," katanya.

Bagi penyanyi, Dafi, dia berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi mewakili mereka bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga susah yang memerlukan.

"Mungkin sumbangan saya tidak seberapa, tetapi saya bersyukur jika mampu membuatkan mereka tersenyum.

"Saya berharap kita dapat menyambut kehadiran Ramadan dengan tenang dan tiada insan yang terpinggir. Cara ini sahaja yang dapat saya bantu mereka berdepan kesempitan hidup," katanya.

Sumber: Berita Harian
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my