WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

141 ORANG DITANGKAP INGKAR PKP DI SARAWAK

Jumlah individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak kembali meningkat dengan 141 tangkapan


Back To Whats Hot

KUCHING: Jumlah individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak kembali meningkat dengan 141 tangkapan bagi tempoh 24 jam dari 8 pagi Ahad sehingga 8 pagi hari ini berbanding tempoh masa sama semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar) berkata, jumlah itu bertambah jika dibandingkan 83 tangkapan bagi tempoh masa sama sebelum ini.

"Dengan peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditangkap kerana ingkar PKP sejak 18 Mac di Sarawak adalah 1,235 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dev berkata, daripada 141 tangkapan itu, Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 orang diikuti Padawan (22), Miri (18), Mukah (6), Kota Samarahan (5), Sarikei (5), Limbang (5), Sibu (4), Saratok (4), Meradong (4), Serian (3), Betong (3), Kapit (3), Bintulu (2), Bau (2), Lubok Antu (2), Simunjan (2), Belaga (2), Dalat (2), Sri Aman (1) dan Julau (1).

Kesemua mereka yang ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sejak PKP Fasa ketiga dilaksanakan, polis tidak lagi mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar arahan tersebut.

Sebaliknya, mereka yang ingkar akan ditahan dan direman, kemudiannya didakwa ke mahkamah.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Rusnan Mustafa