WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

COVID-19 : AIZAT HIBUR PEMINAT SAMBIL BERAMAL

Aizat Amdan beroleh kenangan manis apabila tampil pada konsert di rumah sendiri


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Mengikut aliran terkini apabila ramai artis mengambil inisiatif menghiburkan peminat secara virtual, Aizat Amdan beroleh kenangan manis apabila tampil pada konsert di rumah sendiri.

Bekerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Wonda Coffee, Aizat membawakan Konsert #WONDADiRumah yang pertama kali seumpamanya ‘dipentaskan’ menghimpunkan penyanyi popular tempatan.

Aizat berkata, konsert virtual yang dijayakan, Rabu lalu, adalah salah satu inisiatif menghiburkan masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak PKP dikuat kuasakan, saya memuat naik video mendendangkan lagu Hanya Kau Yang Mampu. Namun, liriknya ditukar berkisar cerita duduk di rumah. Tidak sangka video itu tular dan mendapat sambutan.

“Saya tahu kita semua dalam tempoh sukar yang tidak pernah dilalui. Jadi, eloklah kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mendengar nasihat pakar.

“Sebagai penyanyi, ini yang mampu saya buat iaitu menghiburkan orang ramai. Biarlah orang yang duduk di rumah dapat berhibur,” katanya kepada BH Online.

Konsert #WONDADiRumah menampilkan artis tempatan setiap hari dengan setiap sesi berlangsung kira-kira 30 minit. Selain Aizat, antara artis terbabit adalah Noh Salleh, Syamel, Zizi Kirana, Haqiem Rusli, Akim dan Stacy.

Sementara itu, selain berhibur, Aizat tidak lupa berkongsi maklumat mengenai misi kemanusiaan bersama Mercy Malaysia.

“Saya dan Mercy Malaysia mengumpul dana untuk dihulurkan kepada insan memerlukan.

“Baru-baru ini, saya mendapat tahu ada ibu tunggal berusia 65 tahun yang tinggal bersendirian di Cheras. Dia tidak memiliki keperluan lengkap untuk duduk di rumah.

“Berikutan itu, saya menggunakan khidmat penghantaran barang untuk menghantar bekalan makanan kepadanya... Itu pertolongan kecil yang saya mampu buat,” katanya yang mengajak peminat melayari laman web Mercy Malaysia jika mahu menghulurkan bantuan.

Melihat ada insan lain yang lebih susah, Aizat bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

“Saya tiada apa yang hendak dirungut. Saya bersyukur dengan apa yang ada. Cuba bandingkan dengan orang lain, seperti di Sungai Lui, mereka dikuarantin sehingga tak boleh keluar.

“Sekurang-kurangnya, saya masih boleh keluar untuk urusan penting.

“Dalam tempoh mencabar ini, kita perlu bersabar dan berdoa. Berserah pada Allah yang memberi rezeki. Tempoh PKP ini memberi kita banyak hikmah seperti lebih menghargai masa dan insan lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian
Oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my