WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

DAYANG IKUT KEHENDAK PEMINAT

Dayang Nurfaizah yang akan menyaksikan konsert Dayang Dua Dekad (DDD) di The Theatre, MediaCorp, Singapura


Back To Whats Hot

Berita gembira buat pencinta penyanyi popular, Dayang Nurfaizah yang akan menyaksikan konsert Dayang Dua Dekad (DDD) di The Theatre, MediaCorp, Singapura, pada 28 Disember ini apabila perubahan besar bakal dilakukan.

Perkara itu dikongsi Dayang sewaktu ditanya mengenai perkembangan perancangan konsert DDD yang sebelum ini dipentaskan di Istana Budaya, Julai lalu.

Sebelum ini Dayang pernah memberi kenyataan disebabkan kekangan masa berikutan terbabit dengan beberapa lagi projek, tidak banyak perubahan dapat dilakukan membabitkan pengisian konsert DDD.

“Selepas meneliti senarai lagu, saya dapati banyak perubahan perlu dilakukan. Saya akan gubah semula beberapa lagu yang pernah dinyanyikan di Kuala Lumpur agar ada kelainan,” katanya.

Menurut penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, lagu yang mahu didengar peminat di Kota Singa jauh berbeza dengan peminat tempatan.

“Mereka sangat meminati lagu Langit Cinta. Ikutkan ia hanya lagu tema filem, tetapi mereka mahukan saya mendendangkannya pada malam konsert itu nanti. Jadi, saya akan ikut kehendak mereka.

“Malah ada beberapa lagi lagu dalam beberapa segmen yang terpaksa saya tukar atas permintaan peminat di Singapura. Apa lagu yang saya ubah dan tukar itu kenalah datang dan saksikan sendiri,” katanya.

Keterujaan peminat pasti meningkat apabila Dayang berduet sekali lagi dengan Hael Husaini menerusi lagu Hari Ini yang diberi nafas baharu.

Hari Ini adalah single baharu Hael yang mula diperdengarkan kepada peminatnya pada Mei lalu.

Hael sebelum ini turut membuat kemunculan istimewa di pentas konsert DDD di Istana Budaya menyanyikan lagu Haram yang dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu ke-33.

Pastinya peminat di Singapura bertuah apabila bakal melihat aksi pasangan duet popular itu lebih lama di atas pentas kerana Dayang dan Hael akan mendendangkan lagu Hari Ini selain Haram.

Dayang bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai perkara itu dengan berkata, biarlah ia menjadi elemen kejutan buat peminat.

Selain berkongsi mengenai persiapan konsert, Dayang turut menjelaskan dia teruja dan berterima kasih kepada Tourism Malaysia kerana menganugerahkannya Ikon Selebriti yang diterima baru-baru ini.

“Anugerah sama diterima Datuk Seri Siti Nurhaliza tahun lalu dan tahun ini diberikan kepada saya. Terkejut juga dan tertanya-tanya dalam hati apa yang membuatkan saya layak menerima pengiktirafan terbabit.

“Bagaimanapun, Tourism Malaysia menjelaskan kepada pihak pengurusan bahawa mereka mengiktiraf sumbangan yang saya berikan dalam membantu meningkatkan industri pelancongan tempatan.

“Tambahan pula kata mereka, saya aktif membantu memperkenalkan tanah kelahiran iaitu Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan menerusi kerjaya nyanyian mahupun status sebagai selebriti,” katanya.

Kata Dayang, dia secara peribadi sangat terharu dan berbesar hati atas pengiktirafan itu apatah lagi ia datang daripada pihak luar dan bukan dalam industri muzik.

“Tidak sangka begitu tinggi penghargaan mereka terhadap saya. Diakui perkara ini membuka ruang kepada saya untuk meneruskan kerjasama sedia ada bagi membangunkan industri pelancongan tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Sumber: Harian Metro