WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

PEMAIN BASS TAMANG RAJA MAUT KEMALANGAN DI KANOWIT

Pemain guitar bass kumpulan rock tempatan, Tamang Raja meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Poi-Majau


Back To Whats Hot

KANOWIT: Pemain guitar bass kumpulan rock tempatan, Tamang Raja meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Poi-Majau, di sini kira-kira pukul 7.05 malam tadi.

Febrenus Harry Usup, 36, juga lebih dikenali sebagai Fred Venus dalam kalangan ahli kugirannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kanowit.

Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Tega Bilong berkata, mangsa yang memandu bersendirian, dipercayai dalam perjalanan dari arah Ngemah menuju ke Sibu apabila kemalangan tersebut berlaku.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa, terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum masuk ke dalam parit berhampiran kawasan Sungai Poi, Jalan Majau dekat sini," katanya dalam satu kenyataan malam Selasa.

Jelasnya, impak kemalangan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, suaminya ada mengadu sakit dada sebelum kejadian dan dipercayai diserang sakit jantung," katanya.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang masih bayi.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dikerahkan ke lokasi kejadian susulan menerima panggilan kecemasan.

Setibanya di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 petang, pasukan bomba membantu dan mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Utusan Borneo
Oleh Michael Ubam