WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

RENTAS HIDUP TASHA SHILLA

Membuka lembaran hidup baharu selepas bebas daripada depresi, Tasha memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadi kepada umum


Back To Whats Hot

Dua tahun berjuang melawan depresi, pelakon Tasha Shilla kini mampu menjalani kehidupan normal selepas disahkan bebas daripada masalah berkenaan sekitar tahun ini.

Pemilik nama sebenar, Natasha Sheila Abdul Razak berkata, perjuangan selama dua tahun merawat masalah gangguan perasaan itu telah mengubah persepsinya mengenai kehidupan.

Akui Tasha, 33, selepas bebas daripada masalah tersebut, jauh di sudut hatinya menzahirkan kesyukuran.

“Alhamdulillah, saya semakin pulih, boleh juga dikatakan saya telah bebas daripada depresi. Fokus saya kini adalah mahu melakukan yang terbaik dalam kehidupan.

“Semangat saya juga semakin pulih,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada sesi bertemu peminat drama slot Akasia, Kau Yang Pertama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yakin setiap ujian daripada Allah disusuli dengan hikmah, Tasha menjelaskan masalah depresi yang alaminya telah mengecilkan ruang kehidupannya bersama mereka yang benar-benar bermakna.

Dedahnya, sepanjang melalui proses rawatan tidak ramai kenalan yang tampil membantu, sebaliknya masing-masing semakin menjauhkan diri.

Tidak kecewa dengan situasi tersebut Tasha akhirnya sedar betapa keluarga amat bermakna dalam kehidupannya.

“Sepanjang menjalani rawatan depresi, saya sedar siapa rakan yang selama ini ikhlas di sisi saya. Oleh sebab itu, saya kini lebih selektif untuk berkenalan dan berkawan.

“Hal ini kerana, akhirnya saya sedar bahawa keluarga adalah rakan terbaik yang sentiasa setia di sisi kita walau dalam apa keadaan sekalipun,” jelasnya.

Karier

Seiring dengan perubahan positif kehidupannya, Tasha juga rancak merencana strategi untuk kembali memeriahkan industri seni.

Tasha yang suatu masa dahulu pernah menyandang gelaran antara pelakon pilihan untuk watak heroin bagaimanapun mengakui zaman kegemilangannya telah lama berlalu.

Optimis dan realistik dengan tawaran lakonan sebagai watak sampingan dalam drama tempatan, Tasha sedikit pun tidak tersinggung.

“Saya selesa dengan keadaan sekarang iaitu kisah peribadi dan kontroversi yang seimbang. Saya masih ada peminat dan tawaran berlakon, itu sudah memadai,” luahnya syukur.

Namun, keputusannya untuk kembali berlakon dan meraih kepercayaan penggiat seni tempatan bukanlah satu tugas yang mudah.

Sungguhpun begitu, pelakon drama Kamar Kamariah itu yakin dengan rezeki daripada Allah dan sentiasa memperbetulkan niatnya untuk mencari rezeki halal sebagai pelakon.

“Saya harus realistik dan tidak boleh meletakkan harga yang terlalu tinggi. Imbuhan yang ditawarkan adalah setimpal dengan kerja saya,” katanya.

Rahsia

Berbalik kepada kisah peribadinya, Tasha yang beberapa kali kecundang dalam cinta sempat berkongsi bahawa dia kini sedang mengenali hati budi seseorang.

Meskipun begitu, Tasha tidak lagi terbuka seperti dahulu yang mudah berkongsi mengenai kekasihnya kepada umum.

Dalam pertemuan pada kali ini Tasha seakan mahu merahsiakan hubungan tersebut, namun tidak keberatan untuk mengakui hatinya telah dimiliki.

“Ya, saya sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang. Tetapi masih dalam peringkat saling mengenali hati budi.

“Saya tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai identiti atau kisah cinta saya. Biarlah hanya saya dan dia sahaja yang tahu kerana terlalu peribadi,” katanya.

Tuturnya, kesilapannya pada masa lalu telah banyak memberikan pengajaran untuk lebih berhati-hati berkongsi kisah peribadi sama ada kepada media dan peminat.

Menyifatkan dirinya semakin matang, Tasha berkata, keputusan tersebut diambil kerana enggan lagi terpalit dengan kontroversi negatif.

“Sewaktu awal pembabitan dalam bidang lakonan saya mahu berkongsi semua perkara kepada umum. Maklumlah ketika itu usia masih muda. Sekarang saya semakin matang dan sedar bukan semua cerita boleh dikongsi bersama umum,” katanya.


Cerewet

Lama tidak muncul di slot Akasia, Tasha nyata teruja menjayakan drama Kau Yang Pertama di sisi pelakon Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah.

Melakonkan watak sebagai Ameera, Tasha menyelitkan sebahagian kisah peribadinya demi menghidupkan watak tersebut.

“Saya terima projek ini kerana karyanya asli bukan adaptasi novel. Saya juga bebas untuk menghidupkan watak tersebut.

“Watak Ameera merupakan seorang yang antagonis, tetapi tidaklah terlalu hitam ada juga kebaikan dalam dirinya,” tuturnya.

Selain daripada itu, Tasha mendedahkan dia telah menerima tawaran lakonan untuk sebuah drama di TV3, bagaimanapun masih terlalu awal untuk dikongsikan kerana masih dalam peringkat perbincangan.

Sumber: Kosmo! Online