WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

DEMI JUITA, AZAR AZMI JADI PELACUR

Terperangkap antara maruah diri dan tuntutan bergelar anak seni, Azar Azmi awalnya buntu saat mahu memutuskan penerimaan untuk menjayakan watak Juita


Back To Whats Hot

Terperangkap antara maruah diri dan tuntutan bergelar anak seni, Azar Azmi awalnya buntu saat mahu memutuskan penerimaan untuk menjayakan watak Juita iaitu karakter seorang pelacur dalam drama bersiri Nur 2.

Pemilik nama sebenar, Siti Azar Ameerah Azmi, 30, itu sedar impak terhadap watak sedemikian sama ada meletakkan dirinya sebaris pelakon berkarakter sedia ada atau pasrah menerima kecaman netizen.

Setelah memperhitungkan banyak alasan, Azar tekad meneruskan peranan sebagai Juita dan mempersiapkan dirinya untuk kuat berdepan dengan hentaman netizen.

“Watak Juita adalah sejahat-jahat manusia yang dicipta dalam Nur 2. Dia bukan sahaja berdendam dengan Nur yang juga sahabatnya, malah sehingga ke akhir drama Nur 2 dia tidak bertaubat,” katanya berkongsi mengenai kejahatan yang terpaksa ditanam demi watak Juita.

Mengakui watak berkenaan tidak mudah untuk dijayakan, Azar menganggap Juita adalah ujian terbesarnya sepanjang membina kerjaya sebagai pelakon.

Dia bukan sahaja penat untuk membawakan watak Juita, malah perlu menjejakkan kaki ke lokasi realiti dunia pelacuran yang banyak memberikan keinsafan sepanjang menzahirkan karakter tersebut.

Malah, menurut pelakon kelahiran Negeri Sembilan itu, berlakon di bawah Shahrulezad yang gemar mencipta skrip ketika penggambaran antara faktor lain yang memaksa dirinya untuk menyesuaikan diri.

“Saya penat sepanjang melakonkan watak Juita kerana itu bukanlah diri saya. Sepanjang penggambaran, pengarah memastikan setiap pergerakan saya bertepatan dengan kehendaknya dan tuntutan skrip.

“Demi Juita, saya bukan sahaja tidak menjadi diri sendiri, malah melakukan kajian agar Juita terserlah sebagai pelacur dibenci dalam Nur 2,” jelasnya.

Tanpa berselindung, Azar memberitahu, antara babak yang sukar untuk dijayakan adalah menggoda Ustaz Adam (Syafiq Kyle) ketika mereka berada di dalam kereta.

“Idea mengenai babak berkenaan diilhamkan ketika penggambaran. Kami sebagai pelakon berbincang, sudah tentu pada mulanya penuh dengan gelak tawa kerana sukar untuk merakamkan babak berkenaan.

“Namun, setelah tujuh hingga lapan kali berlatih, itulah hasilnya,” katanya merujuk terhadap babak yang telah tular di laman sosial sebelum Nur 2 mula ditayangkan.

Penerimaan

Watak Juita sepatutnya dijayakan oleh seorang lagi pelakon iaitu Nelydia Senrose, namun ditolak sekali gus memberi ruang kepada Azar untuk berdiri dalam posisi berkenaan.

Sebelum melepaskan peranan Juita, Nelydia pernah menyifatkan watak itu mampu menenggelamkan pelakon utama drama fenomena tersebut.

Mendapatkan komen Azar mengenai pendapat sebegitu, dia hanya tersipu malu dan menyerahkan sebarang pendapat mengenai Juita terhadap penonton.

Sukar untuk meneka kemahuan penonton, Azar berkata, sebagai pelakon dia hanya berusaha untuk menjayakan watak tersebut dengan sebaik-baiknya.

“Saya tidak boleh seronok sendiri dengan mengkategorikan watak Juita mampu meledakkan nama saya dalam industri. Semuanya bergantung pada penerimaan umum.

“Kalau rezeki watak antagonis ini menjadikan bakat saya diterima dalam industri, saya bersyukur,” tuturnya.

Tatkala tekad memilih menjayakan watak sebagai pelacur, Azar juga ditebak tentang pendapat keluarga terhadap keberaniannya menjayakan watak sebegitu.

Bukan sahaja penerimaan keluarga, melihat kepada kemampuan lakonannya menjayakan Juita, tidak mustahil dramatis itu pasti dihujani tawaran watak antagonis lain selepas ini.

Mengulas mengenai penerimaan keluarga, Azar menegaskan, mereka memahami tugasnya sebagai pelakon yang perlu terbuka dalam menjayakan apa sahaja watak atas kapasiti berkarya.

“Keluarga lebih mengenali saya. Mereka juga menyokong saya untuk projek drama Nur 2. Mereka turut berpesan sekiranya tidak mampu, saya perlu menolak watak ini.

“Namun berkat sokongan mereka, saya akhirnya menjayakan watak Juita,” katanya.

Kembali pada soalan berkaitan kesediaan ditawarkan watak wanita antagonis sehingga terpaksa menjayakan babak ranjang, Azar membeliakkan mata sebelum menyusun kata-kata.

Tegasnya, dia bersedia menjayakan babak tersebut asalkan dibantu pemainan sudut kamera. Enggan terikat dengan kecaman sehingga membataskan nilai karya, Azar menegaskan, dia perlu menghormati estetika sesebuah naskhah.

“Saya tidak kisah jika digelar sebagai pelakon ‘daring’. Maksudnya watak Juita itu sampai. Begitu juga menjayakan babak ranjang asalkan menggunakan teknik kamera,” jelasnya.

Kecaman

Ketika Syafiq Kyle berkongsi babak panas antara Juita dan Ustaz Adam di dalam kereta menerusi satu muat naik laman sosial, sudah terdapat komen berbaur kebencian yang diterima Azar.

Sedari awal komen seumpama itu bakal dihadapi, Azar menerima setiap pandangan khalayak secara positif.

“Saya telah lakukan yang terbaik di hadapan kamera. Sampai atau tidak kepada penonton, saya biarkan mereka untuk menilai. Buat masa ini, saya telah menerima pelbagai komen menyentuh isu agama dan sebagainya.

“Namun, netizen perlu realistik kerana saya menjayakan watak seorang pelacur. Itu adalah tuntutan drama semata-mata,” jelasnya.

Menjayakan watak Juita di sekitar lorong gelap di ibu kota, Azar turut mengubah persepsi dirinya terhadap dunia pelacuran.

Tidak menafikan bahawa ‘pekerjaan; itu hina dan satu dosa dari sudut agama, Azar menegaskan sebagai manusia, kita tidak berhak menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pelacur.

“Sepanjang hidup, belum pernah saya jumpa mana-mana individu yang bercita-cita menjadi pelacur. Tetapi adakalanya mereka yang terjerumus ke kancah itu kerana tidak mempunyai pilihan.

“Mereka mungkin terpaksa. Kita tidak boleh terus menghakimi jalan hidup mereka kerana tidak tahu punca mereka terjerumus ke dunia tersebut,” katanya menutup bicara.

Sumber: Kosmo Online