WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

LAGU BARU HUJUNG TAHUN INI

Shiha Zikir yang semakin laris di negara seberang itu merancang tampil dengan lagu baru genre dangdut penghujung tahun ini


Back To Whats Hot

Ligat mengembangkan kerjaya di Indonesia, Shiha Zikir yang semakin laris di negara seberang itu merancang tampil dengan lagu baru genre dangdut penghujung tahun ini.

Walaupun hanya memenangi tempat ketiga dalam program realiti D’Akademi Asia, rezeki penyanyi berusia 30 tahun ini melimpah-ruah.

Menurut Shiha, lagu ciptaan Atra Petrana itu akan terlebih dahulu dilancarkan di Indonesia.

“Dalam masa terdekat, saya akan ke Indonesia untuk menjalani proses rakaman lagu berkenaan. Kali ini, saya sengaja tampil dengan genre dangdut sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Indonesia yang banyak memberikan sokongan sepanjang program realiti itu berlangsung.

“Muzik dangdut di Indonesia sememangnya diterima baik dan mendapat sambutan hangat. Oleh itu, saya akan lihat dahulu penerimaan lagu itu di Indonesia sebelum melancarkannya di Malaysia,” katanya.

Memiliki syarikat pengurusan sendiri iaitu SZ Empire Entertainment, Shiha bagaimanapun menjelaskan, dia tidak ada perancangan untuk terus keluar dengan lagu dangdut.

Mahu digelar penyanyi serba boleh, Shiha menegaskan jiwanya tetap pada genre pop.

Namun, tidak ada salahnya untuk menyanyikan lagu genre lain kerana ia dapat membantu mempamerkan bakat sebenar.

“Saya mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh. Apabila menyanyikan lagu genre lain, ia dapat membantu saya untuk mempamerkan sejauh mana kemampuan sebagai penghibur.

“Sebenarnya di negara kita pun ramai penyanyi dangdut dan lagu juga berkualiti tetapi entah kenapa masyarakat kita lebih suka tularkan lagu dangdut dari negara jiran,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lagu barunya, Shiha yang belum berani mengulas lebih lanjut mengenai projek itu menegaskan pihak pengurusan sudah sedia maklum lagu dan tarian tidak akan ada unsur seksi keterlaluan.

Terus ditanyakan mengenai momentum kerjaya seni, pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir ini terus berusaha mengukuhkan nama sebagai penghibur.

Tidak kecewa dengan populariti yang hanya pada paras sederhana, Shiha tidak terlalu mengejar nama. Dia tetap bersyukur kerana masih ada peminat yang sudi mendengar lagu nyanyiannya.

“Saya tidak terlalu memikirkan keadaan sekarang ini. Kalau terus ditakdirkan rezeki dan kerjaya saya setakat ini pun, saya akan terus menyanyi kerana bidang seni suara adalah minat dan jiwa saya.

“Kenapa perlu ada rasa terkilan dan kecewa disamakan dengan penyanyi lain? Saya berusaha sebaik mungkin untuk tampil dengan lagu berkualiti. Kalau tidak mendapat tempat, saya kena hormati selera pendengar,” katanya.

Sumber: Harian Metro