WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

BEBERAPA HARI SAJA LAGI! APA ANDA PERLU TAHU TENTANG 'AVENGERS: INFINITY WAR'

Peminat Marvel pasti teruja dengan gabungan adiwira kesayangan mereka dalam Avengers: Infinity War


Back To Whats Hot

PARA peminat komik adiwira Marvel pasti tidak sabar untuk menunggu filem Avengers: Infinity War ditayangkan.

Dijangkakan filem ini bakal memecah rekod blockbuster dan akan menjadi salah satu filem aksi adiwira yang terunggul sepanjang zaman.

Ini kerana filem berkenaan menampilkan pelbagai watak yang bersatu tenaga demi menggagalkan misi penjahat terunggul dalam komik Marvel, Thanos.

Menurut produser Kevin Feige, Avengers: Infinity War akan menjadi penutup dalam saga epik Avengers dan menganggap filem ini sebagai pengakhiran kepada permulaan.

 

 

Kepada yang tertunggu-tunggu, apa kata anda baca dahulu beberapa perkara menarik yang anda mahu tahu mengenai filem epik ini. (Amaran: kami tidak bertanggungjawab sebarang 'spoiler alert'):

Akan ada adiwira yang ‘mati’?

Setelah hampir 10 tahun, pasti tiada siapa yang akan terkejut apabila beberapa pelakon akan menamatkan peranan mereka sebagai adiwira dalam saga epik Avenger ini.

Ini kerana pengarah filem berkenaan, Joe Russo mengesahkan bahawa sudah tiba masanya untuk mengakhiri beberapa watak adiwira Marvel itu.

“Saya percaya bahawa segalanya perlu berakhir pada satu titik agar ia mempunyai nilai dalam filem tersebut.”

Berdasarkan sumber, berkemungkinan salah satu atau kesemua watak yang digelar Big Three iaitu Iron Man, Captain America atau Hulk, akan ‘dimatikan’.

Spider-Man akan menyarung kostum baharu

Seminggu sebelum festival komik terbesar di dunia, iaitu San Dieo Comic-Con pada Julai 2017, peminat komik Marvel mendapat gambaran daripada beberapa konsep lukisan Avengers: Infinity War yang memaparkan ‘sang labah-labah’ itu memakai kostum terbaharu.

Berdasarkan teaser yang baru saja dikeluarkan, ia mengesahkan watak Spider-Man kelihatan 'segar' dengan kostumnya yang ranggi dan canggih seakan-akan ‘Iron Spider’.

Beberapa hero membuat penampilan debut

Filem Avengers: Infinity War menyaksikan beberapa adiwira yang akan 'tidur buat selama-lamanya' dan juga tidak ketinggalan beberapa adiwira akan ‘lahir ke dunia’ Marvel untuk turut beradu tenaga menyelamatkan dunia.

Namun, Ketua Pegawai Kreatif Marvel Entertainment, Joe Quesada membiarkan para peminat terus berteka-teki siapakah adiwira yang akan membuat penampilan sulung dalam filem terbaru itu.

Dia ditanya oleh Kevin Smith dalam program podcast 'Fatman on Batman' sama ada watak Namor dan Captain Marvel akan muncul dalam filem tersebut atau tidak.

“Saya tak boleh mengesahkannya atau menafikannya, dan jawapan ‘tak’ mungkin tidak memberi jawapan sebenar daripada persoalan tersebut," jawabnya, menimbulkan tanda soal kepada peminat.

Mjolnir datang lagi?

Filem terdahulu Thor: Ragnarok yang telah ditayangkan pada 25 Oktober tahun lepas, menyaksikan senjata utama Thor, Mjolnir telah musnah dan menimbulkan keraguan sama ada Thor akan menggunakan senjata terbarunya dalam Avengers: Infinity War.

Tiada kata putus untuk menjawab persoalan tersebut dan tukul terbaharu yang dipegang oleh Thor ketika bersama dengan Rocket Racoon hanya sebuah poster konsep seni untuk Avengers: Infinity War dan belum dipastikan sama ada tukul itu menjadi senjatanya dalam filem terbaharu nanti.

Thanos dan ‘pertubuhan penjahat-penjahat bersatu’

Pengarah filem berkenaan, Joe Russo, dalam satu wawancara ketika sidang media San Diego Comic-Con tahun lepas berkata, francais media Marvel Cinematic Universe ingin jadikan Thanos sebagai ‘Darth Vader’ generasi kini.

Ini bermaksud mereka meletakkan Thanos sebagai villain yang sangat digeruni dan mempunyai sekutunya untuk tampil menjadi sekumpulan 'perosak' dunia yang digelar Black Order yang terdiri daripada Corvus Glaive, Ebony Maw, Proxima Midnight dan Cull Obsidian. Tidak cukup dengan itu, adik Thor yang juga musuhnya, Loki turut serta dalam menghuru-harakan dunia dalam filem berkenaan.

Di mana pula Stan Lee 'buat hal' kali ini?

Sedar atau tidak, Stan Lee asyik ‘menyampuk’ setiap kali filem Marvel dikeluarkan sejak dia membuat penampilan debut dalam filem The Trial of the Incredible Hulk pada tahun 1989. Penampilan istimewa atau dikenali sebagai cameo daripada Stan Lee telah menjadi tradisi dalam tayangan filem adiwira keluaran Marvel sehinggakan beliau dinobatkan sebagai ‘raja cameo’.

Cuma pada kali ini, tidak dapat dipastikan di mana pula legenda penulis buku komik itu akan muncul dalam filem terbaru itu, tetapi ada ura-ura daripada peminat mengatakan penampilan cameo Stan Lee dalam filem berkenaan akan menjadi pemandu bas sekolah ketika adegan Spider-Man berada di luar bas sekolah, sewaktu dia ingin menyarungkan topengnya.

Kepada peminat-peminat adiwira Marvel sekalian, jangan ketinggalan menyaksikan tayangan perdana filem Avengers: Infinity War dan kosongkan tarikh anda pada 27 April bersamaan hari Jumaat minggu depan!

Sumber: AWANI