WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

WIMBLEDON: VENUS WILLIAMS KALAH KEPADA PEMAIN BERUSIA 15 TAHUN

Reaksi Coco Gauff, 15 tahun selepas mengalahkan bekas juara lima kali Wimbledon, Wimbledon


Back To Sports Updates

Cori ‘Coco’ Gauff membuat keputusan untuk bermain tenis kerana mahu menjadi seperti adik-beradik Williams, Venus dan Serena, namun siapa sangka, semalam, Gauff pada usia 15 tahun berjaya mengatasi idolanya di salah satu pentas tenis terbesar, Wimbledon.

Gauff merupakan pemain termuda yang layak ke Wimbledon dalam era profesional, mempamerkan ketenangan dan kekuatan pemain yang jauh lebih tua dan berpengalaman untuk menewaskan bekas juara lima kali Venus, 6-4, 6-4.

Suasana penuh emosi di gelanggang utama selepas Gauff mengejutkan Venus di pusingan pertama kejohanan; pemain remaja itu melutut sambil mengalirkan air mata kegembiraan selepas berjabat tangan dengan idolanya itu.

Bapanya pula dilihat melonjak dari tempat duduk dan berdiri untuk meraikan sesuatu yang diluar jangkaannya.

Siapa tak kenal dengan Venus, 39 tahun yang merupakan pemain tertua di Wimbledon dengan lebih 1,000 perlawanan peringkat jelajah berbanding hanya yang ketiga buat Gauff.

“Secara jujur, saya tidak tahu apa yang perlu saya rasakan.

“Ini pertama kali saya menangis selepas perlawanan, sebab meraih kemenangan.

“Saya pernah menangis apabila kalah sebelum ini.

“Saya tidak dapat jelaskan perasaan saya sekarang ini.” kata Gauff yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat.

Gauff dilahirkan pada 2004, ketika Venus menduduki ranking pemain nombor satu dunia dan sudah memenangi empat daripada tujuh gelaran Grand Slam.

Bapa Gauff, Corey seakan tidak percaya anaknya berjaya menewaskan Williams dan menang dalam penampilan sulungnya di Wimbledon.

“Ketika menuju ke gelanggang, saya berjalan di belakangnya, dia sangat teruja dan kelihatan sangat yakin tetapi saya tidak pasti dia benar-benar yakin atau berpura-pura.

“Saya hanya berpesan kepadanya, nikmatilah perlawanan ini yang agak luar biasa”

“Perlawanan pertama Wimbledon dan kamu beraksi di gelanggang utama menentang seorang pemain yang mempengaruhi hidup kamu sejak awal lagi.” kata Corey.

Kejayaan menundukkan bekas juara menunjukkan bahawa Gauff mempunyai penetapan minda seseorang yang mahu pergi lebih jauh.

Gauff ada menyatakan dia mahu menjadi yang terhebat dan bapanya menyuntik keyakinan dia boleh melakukannya sejak dia berusia lapan tahun lagi.

Kini matlamat utama pemain berusia 15 tahun itu ialah untuk memenangi Wimbledon.

Dalam perlawanan menentang Venus, Gauff mencatat 10 mata kemenangan dan mencatat hanya dua kesilapan mudah di set pertama, pada masa sama berbalas pukul ground ke baseline dengan Venus tanpa menempuh mata pemutus seri.

Gauff sempat mengucapkan terima kasih kepada Venus selepas tamat perlawanan itu atas segala inspirasi yang diberikan secara tidak langsung kepadanya.

Sememangnya Gauff menyimpan impian untuk menjadi seperti Venus dan adik perempuannya, Serana, yang merupakan jaguh tenis wanita terkenal di dunia dan mengalahkan salah seorang daripada mereka adalah permulaan yang baik untuknya.

Sumber: AWANI