WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

PENYERANG BAHARU KUCHING TUNJUK IMPAK

Sufizal Ismail pada perlawanan Liga M3 menentang SAMB FC


Back To Sports Updates

KUCHING: Pengendali Kuching FA Ideris Untong memuji aksi sulung penyerang baharu pasukan itu, Sufizal Ismail pada perlawanan Liga M3 menentang SAMB FC malam kelmarin yang berkesudahan skuad ‘The City Boys’ menang dengan jaringan 2-0.

Katanya, penyerang berusia 30 tahun membalas kepercayaan diberikan pihak pengurusan kepadanya dengan menjaringkan gol kedua Kuching FA pada perlawanan itu.

“Sufizal bermain dengan baik bersama seorang lagi pemain baharu, Jimmy Raymond. Beliau membuktikan masih mempunyai sentuhan dengan menjaringkan gol kedua untuk membantu kita mencipta kemenangan.

“Pujian juga kepada pemain lain yang menunjukkan aksi cemerlang memastikan kita beroleh kemenangan,” komen Ideris ketika ditemui selepas perlawanan tamat di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Ideris bagaimanapun mengakui pemainnya agak sukar menerobos gawang lawan yang dikawal ketat pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, babak kedua Kuching FA tampil berbeza dengan garang melakukan asakan dari pelbagai sudut sekali gus menghasilkan dua gol.

“Pemain kita agak keletihan selepas berehat panjang dan ini perlu kita pertingkatkan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” tambahnya.

Gol pertama Kuching FA dijaringkan oleh penyerang prolifik, Joseph Kalang Tie yang merembat kencang dari luar petak penalti pada minit ke-54.

Kuching FA hampir menambah gol kedua pada minit ke-71 namun hantaran silang pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki gagal disempurna kemas Mohammad Hafis Saperi.

Yuta sekali lagi berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun sepakan percumanya pada minit ke-81 sedikit tersasar dari gawang lawan.

Percaturan Ideris dengan membawa masuk Sufizal membuahkan hasil selepas penyerang berpengalaman itu meledak gol kedua pada minit ke-83.

Ia kemenangan ketujuh Kuching FA untuk membolehkan pasukan itu mengumpul 22 mata selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini.

Lawan Kuching FA seterusnya DDM FC pada 23 Jun ini di Padang Bolasepak Akademi KLFA.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Harry Ilias