WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

CHONG WEI TETAP KE TOKYO: SYED SADDIQ

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap akan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, biarpun sudah mengumumkan persaraannya semalam


Back To Sports Updates

PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap akan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, biarpun sudah mengumumkan persaraannya semalam.

Kali ini, peranannya jauh berbeza, bukan lagi sebagai atlet bertanding, tetapi sebagai Chef-de-Mission (CDM) ke temasya empat tahun sekali itu.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada sidang media khas pengumuman persaraan jaguh perseorangan negara itu.

Syed Saddiq berkata keputusan menamakan pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu, setelah mengadakan perbincangan, dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei sendiri.

“Kami secara bersama telah memutuskan untuk menamakan Datuk Lee Chong Wei sebagai CDM Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sebabnya adalah mudah. Kami tidak boleh fikirkan sesiapa yang lebih baik untuk menjulang bendera Malaysia dengan megah, dan juga memberikan inspirasi kepada atlet muda kita.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, walaupun Datuk Lee Chong Wei pilih untuk bersara, tetapi roh perjuangannya tidak akan terbenam atau terpendam. Semangat juang Datuk Lee Chong Wei akan terpahat dalam hati dan pemikiran atlet Malaysia, bukan sahaja badminton, tetapi semua atlet.

“Walaupun selepas mengetahui yang beliau perlu melalui beberapa proses rawatan yang agak sukar, pada masa tersebut dia masih mengambil keputusan untuk terus bermain, terus berlatih. Dia tidak mengalah. Ini menunjukkan beliau seorang pejuang sebenar dan tiada seperti beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sentiasa memberi sokongan kepada bekas pemain nombor satu dunia itu dalam apa jua keputusan yang dibuat selepas ini.

“Walau apa juga keputusan yang beliau ambil selepas ini, kita akan berikan sokongan kita. Beliau wira sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ia satu penghargaan dapat bekerjasama dengan anda, tuan. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei berkata pemilihan beliau sebagai ketua kontinjen negara ke Tokyo ibarat ‘mimpi jadi nyata’.

Chong Wei berkata walaupun tidak lagi sebagai atlet, beliau berharap peranan sebagai CDM dapat membantu atlet lain merealisasikan impian negara untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik.

“Impian utama saya memang untuk ke Olimpik Tokyo…Saya masih akan pergi, tetapi tidak bertanding.

“Saya berharap saya boleh dapatkan pingat emas pertama untuk Malaysia. Saya tidak dapat, tetapi saya berharap atlet lain dakan dapat bawa pulang pingat emas pertama negara,” katanya.

Chong Wei meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 serta Rio de Janeiro 2016, dan menjadi rakyat Malaysia pertama layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekali gus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak 1996.

Sumber: Bernama