• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

KESIHATAN FAKTOR CHONG WEI UMUM PERSARAAN

Memikirkan kesihatan lebih penting, Chong Wei harus membuat keputusan bersara dari sukan badminton


Back To Sports Updates

 

PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya dari sukan itu atas faktor kesihatan.

Menurut Chong Wei, keputusan itu diambil selepas beliau berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Kita buat keputusan selepas Hari Raya (Aidilfitri) akan bersara dan ia keputusan yang amat berat kerana saya sayangkan sukan ini.

"Kesihatan lagi penting, saya sudah jumpa Syed Saddiq dan Mohamad Norza mengenai perkara ini sebelum berehat sebulan sebelum ini.

"Terima kasih kepada media, ini mungkin sidang media saya yang terakhir. Media banyak bantu, rakyat Malaysia juga banyak beri sokongan serta semua kakitangan BAM," katanya semasa sidang media persaraannya di Menara KBS di sini, pada Khamis.

Spekulasi mengenai persaraan Chong Wei bertiup kencang selepas pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu dilaporkan telah bertemu Mohamad Norza dan para jurulatih untuk membincangkan masa depannya.

Pada tahun lepas, Chong Wei mengaku hatinya remuk apabila diberitahu menghidap kanser hidung.

Beliau juga telah menerima rawatan penyakit itu selama dua bulan di Taiwan.

Ketika ditanya perancangannya selepas ini, Chong Wei memberitahu, beliau mahu berbulan madu dan menggantikan semula masa bersukan dan meninggalkan keluarga demi negara.

Sementara itu Syed Saddiq memberitahu, roh semangat sukan Chong Wei akan menjadi semangat untuk atlet-atlet semua sukan lain dalam mengharumkan nama negara di mata dunia.

Beliau turut mengumumkan Chong Wei sebagai calon Ketua Kontinjen Malaysia (Chef de Mission) untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

Sumber: AWANI