• LISTEN NOW ON AIR

    #CNO912

    09.00pm - 12.00am

WHAT'S NEXT

ANTAP MUSIC

12.00am - 06.00am

CHONG WEI TARIK DIRI KEJOHANAN TERBUKA MALAYSIA 2019

Doktor menasihatkan Chong Wei supaya menarik diri bagi memastikan anggota tubuhnya tidak menghadapi tekanan yang tidak sewajarnya


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR - Peminat badminton Malaysia mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan Datuk Lee Chong Wei kembali beraksi selepas jaguh badminton negara itu membuat keputusan menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Malaysia 2019, yang dijadualkan berlangsung dari 2  hingga 7 April ini  di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, pemain berusia 36 tahun itu sedang dalam proses pemulihan yang berjalan dengan baik tetapi beliau dinasihatkan oleh doktor supaya menarik diri daripada pertandingan Tahap 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi memastikan anggota tubuhnya tidak menghadapi tekanan yang tidak sewajarnya.

"Keutamaan BAM kekal tertumpu kepada kesihatan Chong Wei dan akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain berusia 36 tahun itu.  Kami juga menggesa setiap orang supaya memberikan ruang dan masa yang diperlukan untuk pemulihannya," kata badan badminton kebangsaan itu.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan BWF awal bulan ini, Chong Wei yang merupakan Juara 12 kali Terbuka Malaysia akan bertemu pemain nombor satu India, K.Srikanth dalam pusingan pembukaan.

Berikutan Chong Wei menarik diri, skuad badminton negara sudah pasti mengharapkan pemain muda seperti Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven untuk menyinar buat negara dalam kejohanan yang menawarkan hadiah US$700,000 (RM2.853 juta).

Untuk rekod, Chong Wei berehat daripada badminton selama lapan bulan selepas mendapatkan rawatan untuk kanser hidung di Taiwan.

Chong Mei menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011,2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018.

Sumber: BERNAMA