WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

GELARAN OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN LONJAK SEMANGAT MOHD AZIZULHASNI

Azizulhasni ketika dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2017 Selasa malam


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Gelaran Olahragawan Kebangsaan yang diraih jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang pada majlis Anugerah Sukan Negara 2017 malam tadi membakar semangatnya menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

'The Pocket Rocketman' itu yang muncul sebagai juara dunia acara keirin pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017 di Hong Kong berkata pengiktirafan tersebut memberinya motivasi berharga dalam usahanya mempamerkan kayuhan menakjubkan.

Menurutnya, pentas Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia April depan bakal memberinya satu persaingan yang sengit selepas mengambil kira prestasi yang dipamerkan pelumba-pelumba antarabangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2018 di Belanda baru-baru ini.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini dan ia merupakan satu motivasi buat saya untuk menghadapi dua temasya sukan besar pada tahun ini iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Semestinya bila bercakap pasal Sukan Komanwel cabarannya memang sengit terutama selepas saya melihat prestasi yang dipamerkan pelumba-pelumba dari United Kingdom, Australia dan New Zealand," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis anugerah itu di sini.

Anugerah yang diraihnya itu merupakan kali ketiga selepas beliau pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 2009 dan 2010.

Pada majlis yang berlangsung penuh gemilang itu, Mohd Azizulhasni menewaskan tujuh pencabarnya iaitu atlet wushu Wong Weng Son, Mohd Fitri Saari (Hoki), Mohamad Rafiq Ismail (Tenpin Boling), Muhammad Hakimi Ismail dan Khairul Hafiz Jantan (Olahraga), Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (Bina Badan) dan pemain golf profesional Gavin Kyle Green.

Dalam pada itu, gelaran Olahragawati Kebangsaan menjadi milik ratu terjun negara Cheong Jun Hoong selepas cemerlang merangkul pingat emas dalam acara 10 meter platform individu di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary.

Sumber: Awani