• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

PELUANG TERBAIK KHAIRUL HAFIZ CIPTA SEJARAH RANGKUL 3 EMAS

Pelari terpantas negara Khairul Hafiz Jantan berpotensi mencipta sejarah menjadi atlet pecut negara pertama


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Pelari terpantas negara Khairul Hafiz Jantan berpotensi mencipta sejarah menjadi atlet pecut negara pertama merangkul tiga pingat emas dalam acara riben biru itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos ini.

Prestasi memberangsangkan yang dipamer Khairul Hafiz, 18, sejak kebelakangan ini membuatkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mula menaruh harapan untuk melihat atlet kelahiran Melaka itu membawa pulang pingat dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.

Beliau berkata Khairul yang merupakan pemegang rekod 100m dan 200m kebangsaan mempunyai segala kemampuan untuk mengatasi pencapaian emas berganda yang dilakukan bekas jaguh pecut negara Nazmizan Muhammad sewaktu Sukan SEA 2003 di Vietnam.

"Sebelum ini kita pernah menang 100m dan 200m di Vietnam menerusi Nazmizan, tetapi tiada lagi yang pernah memenangi 100m, 200m dan 4x100m sekali gus. Itulah yang saya nantikan.

"Khairul mempunyai kemampuan untuk melakukannya dan jika diberi peluang, ia bakal menjadi satu sejarah yang amat manis buat dunia olahraga negara," katanya kepada Bernama pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sebelum ini Khairul Hafiz yang diberi jolokan 'The Speedy Jantan' telah menggegarkan dunia olahraga tempatan apabila mencatat masa 10.18s untuk memecahkan rekod 18 tahun 100m kebangsaan milik Watson Nyambek (10.30s) pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Tidak terhenti setakat itu, pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 yang berakhir Selasa lalu, beliau sekali lagi mempamerkan taring apabila merakam kepantasan 20.90s untuk meleburkan rekod berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M. Jegathesan (20.92s) yang dilakukan pada Sukan Olimpik 1968 Mexico.

Justeru, Karim berharap kepantasan yang dimiliki Khairul Hafiz dapat digunakan sebaik mungkin serta dijelmakan bagi membantu kuartet 4x100m negara pada temasya Sukan SEA KL.

Dalam pada itu, beliau berkata demi menaikkan moral barisan kontinjen olahraga negara menjelang temasya dwitahunan itu, KOM akan memberikan imbuhan kepada setiap atlet yang berjaya meraih kilauan pingat emas yang jumlah imbuhan belum diputuskan.

"Kita memang sudah berbincang dalam mesyuarat mengenai imbuhan ini dan kita hanya akan beri imbuhan tersebut kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas sahaja," tambah beliau.

Sumber: Bernama