WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

KBS DICADANG TUBUH BADAN KHAS PANTAU ACARA LARIAN

Pelari dan peminat acara larian mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan sebuah badan khas


Back To Sports Updates

PUTRAJAYA: Pelari dan peminat acara larian mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan sebuah badan khas untuk memantau penganjuran acara larian dalam negara bagi melindungi peserta daripada mengalami kerugian berikutan tindakan penganjur tidak bertanggungjawab.

Kini, hampir setiap hujung minggu, pelbagai aktiviti larian seperti 'road atau trail run', 'ultra-marathon' atau 'towerthon' diadakan untuk menarik penyertaan rakyat Malaysia yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat.

Namun, ada pihak tidak bertanggungjawab menganjurkan acara larian tetapi membatalkannya pada saat akhir sebelum menghilangkan diri dan tidak mengembalikan yuran kepada peserta.

Peminat acara larian, Juani Munir Abu Bakar, 30, mencadangkan agar KBS menubuhkan sebuah badan khas untuk memantau penganjuran acara larian secara sistematik di negara ini.

Selain itu, beliau juga mencadangkan peraturan khas dan garis panduan diwujudkan agar semua penganjur mematuhinya dalam penganjuran acaran larian.

"Kini, kes penganjur acara larian membatal acara pada saat-saat akhir tanpa alasan munasabah semakin menjadi-jadi. Yuran yang dibayar pun lesap.

"Penganjur acara larian seharusnya diwajibkan berdaftar dan mendapat lesen atau permit penganjuran daripada badan khas tersebut. Sekiranya mereka gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan, permit atau lesen penganjuran ditarik balik dan disenarai hitam. Ini bagi melindungi peserta acara larian daripada mengalami kerugian," katanya kepada Bernama.

Yuran pendaftaran untuk acaran larian adalah berbeza iaitu bagi kategori 'road run' adalah antara RM45 dan RM110 mengikut jarak - 5km, 10km, 21km (Separuh Maraton) dan 42km (Maraton Penuh).

Juani, yang pernah berdepan dengan penganjur membatalkan acara pada saat akhir tanpa mengembalikan yuran, berkata peraturan khas dan garis panduan itu harus, antaranya mewajibkan penganjur membuat pengumuman sekurang-kurangnya seminggu lebih awal dan mengembalikan yuran dalam tempoh sebulan.

Berkongsi pandangan sama dengan Juani, pelari ultra-marathon, Mohd Hazeem Hashim, 24, yang berharap peraturan dan garis panduan dapat diwujudkan dalam tempoh terdekat.

Selain itu, beliau mahu pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur yang menggunakan logo mereka dalam bahan-bahan promosi bagi acara larian.

"Jangan benarkan pihak tidak bertanggungjawab ini sesuka hati menggunakan nama atau logo bagi menarik penyertaan orang ramai. Tindakan undang-undang patut diambil terhadap penganjur sebegini," katanya.

Sementara itu, pelari maraton, Mohd Hazri Hussin, 44, menyifatkan pembatalan acara larian berikutan faktor cuaca seperti jerebu merupakan sesuatu yang boleh diterima.

Sambil memberi contoh, beliau berkata Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon pada 2015 menyaksikan acara itu terpaksa dibatalkan berikutan jerebu melanda negara ini, namun penganjur memaklumkan lebih awal selain baju dan pingat turut diberikan kepada peserta.

- Sumber dari Bernama