WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

LIVERPOOL ‘LAYU’ DI TANGAN MAN UNITED

Bruno Fernandes meraikan jaringan ketiga Anthony Martial dalam perlawanan persahabatan berdepan Liverpool di Stadium Nasional Rajamangala


Back To Sports Updates

BANGKOK: Naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Liverpool menerima tamparan hebat apabila kecundang 0-4 di tangan Manchester United pada aksi persahabatan di Stadium Rajamangala, Thailand sebentar tadi.

Perseteruan dua pasukan ini sememangnya dinantikan penyokong kedua-dua pasukan dan dianggap sebagai aksi pemanas badan sebelum bermulanya saingan sebenar EPL, 5 Ogos nanti.

Man United yang dibimbing pengendali baharu Erik ten Hag menyenaraikan kesebelasan utama berbanding Liverpool yang menurunkan pemain muda.

Liverpool terlebih dahulu menguji penjaga gawang Man United, David de Gea pada minit ke-sembilan menerusi percubaan Luis Diaz namun De Gea bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menepis percubaan tersebut.

Selang tiga minit kemudian, gol sulung perlawanan terhasil dan menjadi milik Man United menerusi percubaan Jadon Sancho untuk menewaskan Allison Becker.

Tiang gol sekali lagi menafikan impian Liverpool untuk menyamakan kedudukan selepas dua percubaan dari pemain baharu, Fabio Carvalho pada minit ke-16 dan Diaz minit ke-18.

Red Devils terus selesa di depan selepas Fred meledak gol kedua pada minit ke-30 sebelum Anthony Martial turut mencetak nama selaku penjaring ketiga pasukan.

Memasuki babak kedua, Man United hanya mengekalkan De Gea dan membawa masuk pemain baharu berbanding Liverpool yang masih menggunakan pemain muda.

Tepukan gemuruh jelas kedengaran di Stadium Rajamangala pada minit ke-60 selepas Liverpool menurunkan beberapa pemain utamanya termasuklah bintang baharu, Darwin Nunez.

Kemasukan pemain utama nyata mengubah rentak permainan Liverpool yang dilihat berjaya mengawal permainan dan memberi tekanan kepada Man United.

Keghairan Liverpool memburu gol akhirnya membawa padah selepas Man United berjaya menambah jaringan menerusi serangan balas yang disempurnakan pemain baharu, Facundo Pellistri pada minit ke-76.

Masih enggan mengalah memburu gol, Liverpool terus menyerang dan memberikan tekanan menerusi percubaan Mohamed Salah pada minit ke-86 namun sekali lagi dinafikan tiang gol.

Rembatan susulan dari Nunez selepas itu juga gagal menemui sasaran apabila bola melambung tinggi melepasi palang gol.

Salah yang baharu menamatkan teka-teki kariernya dengan bersetuju mengikat kontrak bersama Liverpool sehingga 2025 memiliki peluang di penghujung masa tambahan namun gagal mengegarkan gawang Man United dan keputusan 4-0 kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.

Sumber: Utusan Malaysia

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini