• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

PIALA THOMAS: PELUANG SKUAD NEGARA BALAS DENDAM

Soh Wooi Yik dijangka bergandingan dengan Aaron Chia dalam acara beregu pertama menentang Indonesia, malam ini


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Pertarungan menentang Indonesia pada suku akhir Piala Thomas malam ini, disifatkan medan terbaik buat skuad negara menebus kekecewaan tewas di tangan pasukan itu di peringkat sama pada edisi 2018 di Bangkok, Thailand.

Ketika itu, Malaysia terpaksa akur apabila tewas 1-3 di tangan Indonesia yang menyaksikan satu mata skuad negara disumbangkan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya barisan pemain negara akan kembali bangkit menjelang pertembungan dengan Indonesia selepas tewas di tangan Jepun, semalam.

"Saya rasa kita kena terima kekalahan kepada Jepun hari ini (semalam) kerana memang itu pasukan pilihan. Saya percaya pemain kita akan bangkit semua daripada kekalahan ini apabila bertemu Indonesia esok (hari ini).

"Semua pasukan sama handal... jadi tidak kisah siapa yang kita akan jumpa. Kita harus merangka strategi dan menunjukkan keupayaan kita untuk menggalas tugas yang mencabar ini... itu penting.

"Barisan jurulatih akan berbincang dan cuba merangka strategi yang betul untuk pertarungan itu," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia lima kali muncul juara Piala Thomas sejak ia diperkenalkan pada 1949 dengan kali terakhir adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Indonesia pula tampil dengan reputasi tinggi sebagai pasukan terbanyak menjuarai kejohanan berpasukan itu apabila merekodkan kejuaraan sebanyak 13 kali dengan kali terakhir pada 2002 di Guangzhou, China.

Sumber: Berita Harian
oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my