WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

MBAPPE PEMAIN PALING BERNILAI - SAHA

Mbappe menyumbat 33 gol dalam Ligue 1 musim 2018-19 walaupun hanya 24 kali mengisi kesebelasan utama


Back To Sports Updates

Kylian Mbappe diakui sebagai pemain istimewa yang menjadi idaman tertinggi kelab tatkala Paris Saint-Germain (PSG) cuba untuk mengelakkan sebarang usaha membawanya keluar.

Pemain berusia 21 tahun itu muncul bintang muda pertama sejak Pele yang meledakkan gol di pentas final Piala Dunia, dua tahun lalu, dan dia terus menyinar membantu Les Bleus.

Bekas penggempur Perancis dan Manchester United, Louis Saha, berkata Mbappe adalah pemain paling bernilai di dunia dan mendakwa tidak mengejutkan apabila kelab seperti Real Madrid mengintai khidmatnya.

Mbappe menyumbat 33 gol dalam Ligue 1 musim 2018-19 walaupun hanya 24 kali mengisi kesebelasan utama sambil menghasilkan 18 gol daripada 17 penampilan utama sebelum wabak coronavirus menyebabkan kempen 2019-20 ditangguhkan.

"Ternyata dia mengawal takdirnya sendiri," ujar Saha.

"Mbappe telah matang di usia muda. Dia tahu apa yang diinginkan. Dia tidak menyembunyikannya.

"Pada usia sebegitu, dia melawan faktor fizikal kerana sangat pantas. Apa yang dilakukan oleh kami secara normal akan menjadi berbeza untuk dia.

"Saya fikir dia seorang pemain yang istimewa sehingga menjadi idaman semua kelab. Dia pemain paling bernilai di dunia.

"Jadi, semestinya normal untuk dia mengimpikan tentang sesuatu yang tidak difahami oleh orang atau pemain lain."

Mbappe diyakini akan memenuhi potensi bakat yang dimiliki tidak kira di Paris atau tempat lain dan Saha melihat kepada pasukan yang mempunyai sejarah dalam beberapa tahun terakhir di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Real dilaporkan muncul selaku pasukan yang menunjukkan minat lama sambil Liverpool juga dikaitkan dengan kemungkinan menjadi pilihan buat bekas pemain Monaco itu.

Saha faham apabila spekulasi sebegitu muncul memandangkan kontraknya di PSG kini berbaki dua tahun.

"Saya fikir apabila anda berada di kelab seperti Paris yang masih membangun, tidak setaraf Real Madrid, Barcelona, Juventus dan lain-lain, spekulasi akan muncul tetapi saya tetap menghormati PSG," tambahnya.

"Selagi dia tidak menandatangani kontrak baru, ia sentiasa menjadi tumpuan kerana Mbappe adalah pemain yang hebat."

Sumber: AWANI