WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

LIVERPOOL BATAL HASRAT GUNA DUIT KERAJAAN UK

Liverpool akan tetap membayar gaji kakitangan bukan pemain disebalik krisis Covid-19 yang serius di negara itu


Back To Sports Updates

Liverpool membatalkan hasrat kelab itu untuk memberi cuti sementara kepada kakitangan bukan pemain dan memohon maaf kepada penyokong kelab itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Liverpool mengaku tersalah langkah.

“Kami percaya bahawa kami mencapai keputusan yang salah minggu lalu dan kami memohon maaf,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool, Peter Moore dalam satu kenyataan.

Moore menambah mereka akan berusaha mencari sumber lain untuk membayar gaji pekerja yang tidak bermain.Keputusan untuk meletakkan staf bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan di UK yang melibatkan wang pembayar cukai negara itu mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong dan bekas pemain terhadap kelab itu.

Pembatalan tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik kelab itu, Fenway Sports Group, eksekutif-eksekutif kelab dan pemegang taruh kelab itu, selepas menerima kritikan yang hebat daripada pelbagai pihak.

Selepas pengumuman itu, pelbagai pihak mengecam keputusan Liverpool termasuk bekas pemain Jamie Carragher dan Stan Collymore.

Mereka mempersoalkan kenapa Liverpool perlu menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar gaji semua staf mereka, sedangkan kelab itu lebih daripada mampu untuk melakukannya di sebalik krisis pandemik COVID-19 yang menyebabkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tertangguh.

Pada Februari, Liverpool mengumumkan keuntungan selepas cukai sebanyak £42 juta (RM300 juta) dan perolehan sebanyak £533 juta (kira-kira RM2.85 bilion), selain membayar sebanyak £43 juta (RM299 juta) kepada ejen bola sepak.

Skim kerajaan UK itu adalah menjamin 80 peratus gaji bagi kakitangan sehingga maksimum £2,500 (kira-kira RM15,000) sebulan, manakala baki 20 peratus gaji akan dibiayai majikan.

Sumber: AWANI