WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KIM SWEE TUNTUT SERANGAN LEBIH TAJAM

Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menuntut jentera serangannya untuk tampil lebih tajam


Back To Sports Updates

MANILA: Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menuntut jentera serangannya untuk tampil lebih tajam dalam misi mencipta kemenangan pertama menjelang pertembungan dengan Filipina untuk aksi kedua Kumpulan A Sukan SEA 2019, Jumaat ini.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata, penting untuk anak buahnya terutama jentera serangan tidak mengulangi skrip sama ketika seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pertama, semalam yang menyaksikan beberapa peluang terhidang bagi meledak gol khususnya di babak kedua gagal dimanfaatkan.

“Mencipta peluang adalah penting tetapi sudah tentu selepas ini kita harus pastikan peluang yang kita cipta itu kita mampu manfaatkannya dengan menjaringkan gol,” kata Kim Swee.

“Serangan-serangan yang kita lakukan kalau kita tidak mampu menjaringkan gol bermakna kita mungkin menghadapi masalah nanti daripada segi bilangan gol.”

Pada aksi dengan Myanmar di Stadium Rizal Memorial itu, Kim Swee yang tampil dengan formasi 3-4-3 mempertaruhkan trio Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid dan Luqman Hakim Shamsuddin di bahagian serangan skuad negara.

Bagaimanapun, hanya Hadi Fayyadh yang berjaya menjaringkan gol pada minit ke-24 sekali gus memadam gol pendahuluan Myanmar menerusi Soe Moe Kyaw 10 minit sebelum itu.

Aksi skuad negara bertemu tuan rumah, Filipina Jumaat ini cukup penting dengan kemenangan akan kembali mencerahkan laluan untuk melepasi peringkat kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir.

Justeru, tempoh rehat tiga hari pastinya akan memberi ruang buat Kim Swee mencari formula terbaik bagi menumbangkan pasukan tuan rumah.

“Pastinya fokus terarah kepada perlawanan menentang Filipina dan saya menjangkakan ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah buat kami,” katanya yang membawa pasukan negara memenangi pingat emas di Jakarta pada edisi 2011 dan perak di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Sumber: Berita Harian