Sering terlibat dengan pengarahan drama, pengarah filem komedi "Baik Giler", Mansor Akob menyifatkan filem sulung arahannya ini seperti 'bayi pertama' yang dinanti-nantikannya selama ini.
Ini kerana, Mansor atau lebih dikenali sebagai Manchi memberitahu dia telah menantikan selama dua tahun naskah "Baik Giler" oleh Drs. Bambang Suhartono Mohd Said diterjemah menjadi sebuah filem.
"Saya telah menunggu hampir dua tahun untuk filem ini direalisasikan menjadi sebuah filem sepertimana yang anda tonton hari ini. Tempoh tersebut tidak lama dan tidak juga sekejap. Namun dalam tempoh itu, saya berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
"Buat filem ini tidak sukar tapi yang membuatkan ia sukar adalah apabila berhadapan dengan orang sekeliling saya yang datang dengan pelbagai kerenah sehingga membuat filem yang memulakan penggambaran pada Mei 2010 ini tertunda dua tahun lamanya.
"Misalnya, sebelum ini saya pernah meminta seorang editor menyunting aksi CGI (Computer Generated Imagery) atau teknik penjanaan imej berkomputer untuk beberapa babak dalam filem ini. Bayaran penuh telah saya berikan namun bulan demi bulan menanti, ianya belum juga disiapkan. Bila ditanya macam-macam alasan diberikan sehinggalah empat bulan kemudian, benda yang saya tugaskan masih seperti hari pertama saya serahkan pada individu tersebut, tidak disentuh," ujarnya yang ditemui ketika malam pra-tonton filem "Baik Giler" di TGV Sunway Pyramid baru-baru ini.
Salah satu babak dalam "Baik Giler"
Tambah Manchi lagi, ujian tersebut membuatnya sedikit serik justeru dia lebih berhati-hati memilih individu yang benar-benar mampu menyiapkan tugasan diberikan dalam waktu yang telah ditetapkan dan proses mencari itu mengambil sedikit masa.
Mempertaruhkan barisan pelakon handalan seperti Zizan Abdul Razak, Awie, Abon, Sharifah Shahira, Kenchana Devi, Siti Fazurina serta penampilan sulung penyanyi Farawahida sebagai heroin, Manchi yakin filem ini akan mendapat tempat di hati penonton khususnya penggemar cerita komedi kerana naskah Drs. Bambang ini sangat menarik dan berbeza daripada filem bergenre sama yang pernah ditayangkan sebelum ini.
"Kali pertama membaca naskah ini, saya sudah membayangkan bagaimana perjalanan dan karakter setiap watak. Alhamdulillah, masing-masing berjaya merealisasikan apa yang saya gambarkan," jelasnya lagi.
Manchi (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon filem "Baik Giler"
Ketika ditanya apakah populariti yang diraih Zizan serta kehadiran figura seperti Awie menjadikannya yakin bahawa filem ini akan mengutip kutipan memberansangkan sepertimana lakonan-lakonan Zizan sebelum ini, Manchi memberitahu, "Saya beruntung kerana menawarkan watak ini pada Zizan ketika dia baru mula menempa nama dua tahun lepas. Alhamdulillah filem ini siap di saat Zizan sudah berjaya.
"Siapa yang tidak kenal pada Awie? Satu Malaysia kenal Awie dan dia juga seorang pelakon yang versatil. Setiap pelakon dalam filem ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri dan ada peminat masing-masing. Saya yang memilih mereka, sudah tentu saya yakin pada mereka," jelas Manchi yang bakal menyusul dengan tiga buah telemovie khas raya tahun ini.
Ditayangkan bermula hari ini (28 Jun), "Baik Giler" menceritakan kisah Afiq yang sensitif dan akan mengamuk mendengar perkataan "Baik Giler" memandangkan dirinya baru saja keluar dari hospital sakit jiwa. - sumber dari TUPAI









